FOLLOWERS NASYID2U

Tuesday, December 28, 2010

Imbasan 2010: Artis Dan Pengacaraan

Tahun 2010 mencatatkan sejarahnya yang tersendiri apabila ramai artis nasyid disunting ke bidang pengacaraan. Baik di radio mahupun di televisyen, artis nasyid menjadi pilihan syarikat media massa elektronik untuk diketengahkan, mengemudi rancangan-rancangan yang telah disediakan.

Hafiz Hamidun Sinonim Dengan Tilawah Interaktif

Nama Hafiz Hamidun sudah tidak asing lagi di dalam bidang pengacaraan. Satu demi satu tawaran pengacaraan hinggap di bahu penasyid muda yang terkenal dengan sifat kuat kerjanya (workaholic). Pada tahun-tahun sebelumnya, Hafiz Hamidun dilihat begitu aktif mengacarakan beberapa rancangan TV seperti Forum Perdana Hal Ehwal Islam dan beberapa program realiti TV seperti Akademi Nasyid dan Akademi Al-Quran. Namun pada tahun ini, dek kesibukan beliau dengan syarikatnya Arteffects Production, beliau hanya memilih untuk mengacarakan rancangan yang telah dipopularkan oleh beliau dan Ustaz Farid Ravi, Tilawah Interaktif. Rancangan terbitan JAKIM ini telah memberi impak yang begitu mendalam kepada masyarakat apabila rancangan kendalian Hafiz Hamidun bersama panel jemputan, Ustaz Farid Ravi ini berjaya menarik perhatian ramai penonton untuk turut sama memperbaiki bacaan Al-Quran mereka secara live di televisyen. Keberkesanan rancangan ini dilihat menjadi batu loncatan buat Hafiz Hamidun di dalam mengembangkan bakat pengacaraan beliau. Rancangan yang keudara di TV1 ini nyata semakin sinonim dengan Hafiz Hamidun apabila tahun ini merupakan tahun ke-4 beliau mengacarakan program yang cukup bermanfaat ini.

Adi Akmal Pembaca Berita TV AlHijrah

Adi Akmal, 24, telah disunting oleh TV AlHijrah sebagai wartawan penyiaran dan pembaca berita stesen TV tersebut. Adi Akmal yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan (Psikologi) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebelum ini pernah menjadi pengacara bagi rancangan U-Remaja, sebuah rancangan terbitan JAKIM di TV1. Beliau yang juga vokalis kumpulan Devotees mendapatkan bimbingan daripada Nizal Muhammad, bekas personaliti TV dari Media Prima yang kini menjadi Jururunding Pengacaraan. Dalam bidang nyanyian, Adi Akmal, selaku vokalis kumpulan Devotees telah tampil dengan album sulung mereka berjudul Tika Dinihari. Devotees kini sudah bersedia untuk tampil dengan album baru yang bakal menjengah di pasaran dalam masa terdekat.

Pyan Saujana dan DJ Siti Rohani Meriahkan Slot Pagi IKIM.FM

Suffian Amrin atau lebih mesra disapa Pyan Saujana telah disunting oleh pihak IKIM untuk mengendalikan Segmen Warna Pagi Radio IKIM.FM bersama DJ Siti Rohani. Pyan Saujana yang sebelum ini menjalani proses percubaan selama seminggu akhirnya telah dipilih untuk mengendalikan segmen pagi di radio milik Institut Kefahaham Islam Malaysia tersebut. Celoteh yang menghiburkan antara Pyan Saujana dan DJ Siti Rohani di segmen tersebut benar-benar menghidupkan suasana pagi pendengar setia radio IKIM.FM. Setiap pagi, mereka akan mengemukakan 1 topik untuk diperbincangkan bersama para pendengar. Ramai yang memberi respon positif melalui panggilan telefon dan tidak kurang juga di laman Facebook Warna Pagi IKIM.FM. Selain di bidang penyiaran radio, Pyan Saujana juga pernah terlibat dalam bidang pengacaraan televisyen apabila beliau terpilih mengendalikan rancangan Nasyid TV atau Nasyid Minggu Ini (NMI) di TV1.

Percubaan Pertama Amin Inteam di Majalah Islam TV AlHijrah

Inteam merupakan antara kumpulan nasyid yang gemar menghubungkaitkan setiap lagu-lagu nasyid alunan mereka dengan ayat Al-Quran mahupun Hadis. Dek kepetahan ini, salah seorang ahli kumpulan Inteam, Muhammad Hazamin Bin Harun atau lebih dikenali sebagai Amin Inteam telah disunting oleh pihak stesen TV Islami baharu Negara, TV AlHijrah untuk menjadi pengacara bagi rancangan Majalah Islam. Walaupun beliau seorang yang aktif dan petah berkomunikasi dengan audiens dimana-mana persembahan pentas sewaktu bersama Inteam, pengalaman di dalam bidang pengacaraan televisyen nyata memberi suatu dimensi yang baru dan mencabar buat Amin Inteam. Tugas yang digalas nyata berjaya dilaksanakan dengan baik apabila kemunculan pertama Amin Inteam di rancangan Majalah Islam itu mendapat respon yang positif daripada kalangan peminat.

Ustaz Nabil Cetus Diskusi Ilmiah Secara Santai Di Salam.FM.

Figura lulusan Al-Azhar ini begitu menyerlah dalam menyantuni para pendengar di Salam.FM. Kebijaksanaan Ustaz Nabil Ahmad melayani kerenah pendengar dalam diskusi ilmiah secara santai di Salam.FM membuatkan para pendengar sentiasa ternanti-nanti Ustaz Nabil ke udara di corong radio mereka. Penasyid daripada kumpulan Far East ini juga begitu mesra menyapa pendengar yang menghubungi radio Salam.FM tanpa mengira umur. Ustaz Nabil juga memberi peluang kepada para pendengar untuk menyampaikan ucapan serta membuat permintaan lagu melalui panggilan telefon mahupun di laman facebook milik beliau. Untuk rekod, Ustaz Nabil merupakan personaliti Astro Oasis yang mana beliau turut mengendalikan rancangan Jemputan Umrah dan banyak lagi.

Akbar Azmi Tenang Mengendali Rancangan Panggilan Agung

Baru-baru ini penulis terlihat kelibat Akbar Azmi mengacarakan sebuah rancangan di Astro Oasis. Rancangan yang diberi nama Panggilan Agung ini menceritakan tentang keindahan dan kebesaran salah satu ibadah yang menghubungkan manusia dengan ALLAH iaitu Solat. Akbar Azmi merupakan bekas ahli kumpulan Brothers yang telah memilih untuk muncul sebagai artis nasyid solo satu ketika dahulu. Akbar yang lama menyepi setelah menjalani kehidupan berkeluarga kelihatan begitu tenang mengendalikan rancangan tersebut. Kali terakhir penulis mendapat berita mengenai beliau sewaktu beliau berkongsi berita mengenai bisnes buku dan alatan ibadah yang diusahakan beliau di Seksyen 17, Petaling Jaya.

Pihak Munsyeed mengucapkan selamat berjaya buat semua artis nasyid yang terlibat dalam bidang pengacaraan dan penyiaran televisyen mahupun radio. Semoga lagi ramai artis nasyid yang akan diketengahkan dalam bidang pengacaraan ini pada tahun hadapan, 2011. Nantikan Imbasan 2010 edisi seterusnya pada esok hari. -MUNSYEED.COM

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...