FOLLOWERS NASYID2U

Friday, May 11, 2012

Hafiz Hamidun kompos 8 Lagu dalam masa Sebulan utk Sirah Teragung

PENYANYI nasyid, Hafiz Hamidun, hanya diberi masa sebulan untuk menyiapkan album Sirah Teragung yang juga judul buku terbaru mengenai kehidupan Rasulullah s.a.w iaitu Sirah Teragung Muhammad SAW: Rujukan Lengkap Hidup Rasulullah SAW Dari Sebelum Kelahiran Hingga Detik-Detik Terakhir.

Buku sirah itu adalah terbitan Maghfirah Pustaka (M) Sdn Bhd di mana menerusi anak syarikat mereka, Humaira Book Store, mereka mengedarkan album Zikir Terapi Hati yang disampaikan dan diterbitkan oleh Hafiz sendiri.
“Saya terjumpa dengan pihak Maghfirah Pustaka ketika mereka menyertai Pesta Buku Islam yang diadakan di Putrajaya pada Februari lalu dan dengan arah serta tujuan yang sama untuk menyebarkan syiar Islam menerusi kemahiran yang ada pada pihak masing-masing maka terhasillah kerjasama di antara kami.

“Pemilik syarikat itu, Mohd Sahrularifin Ab Manan, tertarik dengan lagu bonus yang terdapat dalam album zikir itu, Lawkana Bainana yang menceritakan mengenai Rasulullah s.a.w, lalu dia memberikan buku sirah asal yang masih dalam versi bahasa Indonesia untuk saya baca, kaji dan memahami keseluruhan kandungannya.


“Lawkana Bainana bertepatan sekali dengan kandungan buku sirah yang mereka ingin pasarkan. Sementara mereka mahu menterjemahkan buku itu dalam bahasa Melayu, saya pula diminta untuk menghasilkan beberapa lagu lagi yang liriknya mengenai perjalanan hidup Rasulullah s.a.w.


“Mereka melancarkan buku sirah itu pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang berlangsung dari 27 April hingga semalam. Bagi menambah daya tarikan kepada bakal pembeli buku itu, mereka mahu sertakan CD album khas itu,” katanya.

Menurut Hafiz, dari tarikh pesta buku itu akan diadakan, dia diberi masa sebulan untuk menyiapkan album itu dan dek kerana tertarik dengan tawaran berkenaan, Hafiz terima cabaran itu lagi pun jelasnya ia adalah untuk tujuan yang sangat baik.

“Dengan tempoh yang pendek itu saya tumpukan perhatian kepada projek khas itu dan dalam masa yang ditetapkan, saya berjaya menyiapkan lapan lagu. Album itu turut memuatkan lagu Lawkana Bainana, menjadikannya sembilan lagu kesemuanya.

“Mujurlah saya fasih berbahasa Indonesia, jadi tiada masalah untuk saya memahami kandungan buku itu. Saya belajar bahasa Indonesia daripada kenalan dan rakan bisnes di negara itu. Saya juga kerap ke sana memenuhi undangan nyanyian,” katanya yang turut memuatkan lagu Marilah Memuji, Dialah Rasulullah, Kasih Padamu, Hijrah Padamu, Penyeri Dunia (Khadijah RA), Takbir Fisabilillah, Muhammad Mustofa dan Pemergian Rasul.

Hafiz juga gembira kerana penerbit asal buku sirah di Indonesia mahu menyelitkan album itu untuk pasaran di sana.

“Saya akan ke Indonesia untuk mempromosikan album ini dan juga Zikir Terapi Hati tetapi kepada mereka yang ingin mendapatkan album ini mereka kena beli buku sirah itu kerana CD album nasyid ini adalah bonus kepada pembeli. CD itu tidak dijual berasingan.

“Buku sirah ini adalah rujukan lengkap mengenai kehidupan Rasulullah s.a.w dan anda mesti memilikinya. Ia antara koleksi paling berharga yang perlu ada dalam simpanan anda serta boleh ‘diturunkan’ kepada anak cucu pula. Sebagai umat Rasulullah s.a.w, kita mesti tahu dan mengenalinya untuk menerbitkan rasa cinta yang mendalam terhadapnya.

“Penerbitan CD itu juga bagi menarik minat kanak-kanak dan golongan muda terhadap junjungan kita itu. Kanak-kanak biasanya suka mendengar lagu dan oleh itu ia antara langkah awal untuk mendidik mereka. Seni hiburan jika kita dapat meletakkannya pada tempat yang sepatutnya, ia pasti akan mendatangkan manfaat pada kita semua,” katanya.

Tambah Hafiz, dia akan menggunakan platform itu untuk mencipta nama dan mencari tapak dalam industri hiburan di sana terutama dalam lagu yang berbentuk ketuhanan.

“Pada kesempatan itu juga saya akan perkenalkan produk saya yang lain di Indonesia,” katanya.

Buku sirah setebal 600 muka surat itu boleh dijadikan panduan hidup kita terutama anak-anak yang baru mahu mengenal dunia dan erti hidup yang sebenarnya.

Sabda Nabi Muhammad: “Ajarkanlah kepada anak-anakmu mengenai tiga perkara - Cinta kepada Nabimu, cinta kepada keluarga baginda dan cinta membaca al-Quran, di hari kiamat nanti mereka akan berada dalam naungan Allah s.wt di mana pada hari itu sama sekali tiada naungan melainkan naungan-Nya berserta Nabi dan orang pilihan-Nya saja.’ - (Hadis riwayat ad-Dailami)

Kehidupan Rasulullah s.a.w adalah sebuah sirah teragung. Walaupun kehidupan baginda terjadi 14 abad yang lalu, kisah hidupnya tidak pernah usang. Bahkan sebaliknya, kisah baginda terus relevan dalam kehidupan masa kini dan juga masa hadapan kerana baginda adalah contoh qudwah yang diutuskan Allah s.wt, sebagai rasul akhir zaman untuk membimbing umat manusia seluruhnya.

Oleh kerana itu, buku ini cuba menyajikan sejarah kehidupan Rasulullah s.a.w dalam bentuk baru, menggunakan segala deria yang dimiliki manusia agar kehidupan Rasulullah SAW sentiasa berada di jiwa.

Antara keistimewaan buku ini kerana penyusunan kisah yang sistematik dan tersusun mengikut urutan peristiwa di dalam kehidupan Rasulullah s.a.w seolah-olah kita merasakan perjalanan hidup Rasulullah s.a.w sendiri dari sejak kelahirannya sehinggalah kepada kewafatannya.

Selain itu, setiap helaian kertas berwarna dan dilengkapi dengan gambar eksklusif berkaitan Rasulullah s.a.w, keluarga dan sahabatnya yang ditulis oleh Ustaz Dr Ahmad Hatta dari Palembang, Indonesia.

Untuk mendapat maklumat lanjut mengenai buku itu layari www.facebook.com/maghfirahgroup atau lawati www.sirahmuhammad.com.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...