FOLLOWERS NASYID2U

Sunday, May 13, 2012

Album Devotees 336 : Cipta Dimensi Seni Positif




Selepas kejayaan album Berjalan Tanpa Henti (2011) yang banyak mengangkat nama kumpulan ini di pentas industri muzik tanah air, kumpulan Devotees terus merancakkan landskap karier mereka dengan kemunculan album bersinergi dan magis, Devotees 336.
Berani bangkit dengan konsep unik, Devotees yang mewakili Devotees Music Works bersama-sama Al Bahgdadi Method Sdn Bhd telah menghasilkan sebuah album berasaskan pelajaran al-quran  yang menggunakan teknik Al Baghdadi.
Album berbentuk pendidikan ini menghimpunkan 336 sebutan asas bagi 29 huruf hijayyah yang merangkumi bunyi mad, tanwin, sukun, sabdu dan sebagainya.
Album Devotees 336  memuatkan 11 track lagu istimewa yang diadun bersesuaian dengan muzik kontemporari telah disusun sendiri oleh kumpulan Devotees di samping menyuntik kelainan dengan  menampilkan Devotees Junior yang bertindak sebagai suara latar.
Devotees Junior diwakili oleh adik Muhammad Izzi Jalaluddin, 10 tahun, Muhammad Irfan Jalaluddin, 8 tahun, Muhammad Ilman Jalaluddin, 8 tahun dan  Muhammad Aqil Jalaludddin, 12 tahun.



Terdahulu, majlis pelancaran album Devotees 336 yang diadakan pada 6 Mei 2012 telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai. Majlis pelancaran yang diadakan di Pentas Utama, Pusat Dagangan Putra Malaysia (PWTC) tersebut telah dirasmikan oleh Y Bhg Datuk Haji Hasbullah Bin L Isa, Penasihat Yayasan Al Baghdadi.
Menurut Ustaz Jalaluddin, Penerbit Eksekutif merangkap Pengerusi Yayasan Al Baghdadi dan Pengasas Teknik Al Baghdadi, matlamat utama album ini dihasilkan adalah untuk memberi pengukuhan yang mantap kepada anak-anak mahupun orang dewasa terhadap bunyi-bunyi asas yang perlu dikuasai di dalam proses mempelajari al-quran.
Dalam sidang media yang diadakan di ibu kota baru-baru ini, Ustaz Jalaluddin turut menzahirkan kerisauannya dengan mengatakan bahawa berdasarkan kajian di peringkat universiti, purata 38.2 peratus pelajar adalah buta al quran. Peratusan ini menjadikan hampir 200 ribu pelajar  berdepan dengan krisis serius ini.
Mengakui selesa bekerjasama dengan Devotees, usaha sama yang dicetuskan oleh kedua pihak ini membuktikan kesungguhan dan komitmen mereka dalam menjalankan tanggungjawab sosial.
Bersejajar dengan kemunculan album unik ini, pihak Al Baghdadi dan Devotees telah menyusun strategi dengan mengadakan ‘road tour’ untuk memperkenal dan mempromosi album pendidikan ini. ‘Road tour’ tersebut  akan bermula di dalam negara dan seterusnya akan menyusul ke luar negara seperti Brunei dan Kemboja.
Selain itu, Devotees juga akan bertindak menerbitkan VCD Devotees 336 dan akan terlibat dengan sebuah lagi album pendidikan menerusi kerjasama bersama Al Baghdadi.
“Ada kesinambungan yang telah disusun selepas pelancaran album ini secara rasmi pada hari ini,” jelas Ustaz Jalaluddin yang juga bertindak sebagai pemantau bagi keseluruhan lagu di dalam album tersebut.
Setiap lagu yang dihasilkan akan diperiksa terlebih dahulu bagi mengelakkan kesalahan tajwid, harakat dan makhraj huruf.
Kelahiran album Devotees 336 ini berpotensi menjadi batu loncatan kepada orang ramai terutamanya kanak-kanak ke arah budaya penghayatan dan celik al quran. Ternyata album ini berjaya mencipta satu dimensi seni daripada sudut yang berbeza dan membawa pencerahan istimewa kepada industri muzik tanah air.
Tahniah Devotees dan Al-Baghdadi !
Peminat nasyid di luar sana, jangan lupa dapatkan album ini. -sumber: NK
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...