FOLLOWERS NASYID2U

Friday, December 31, 2010

Imbasan 2010: Aktiviti Fan Club Nasyid

Industri Nasyid akan hambar jika kewujudan artis tidak mendapat sokongan dan perhatian para peminat. Hubungan diantara para peminat dan artis boleh diibaratkan sebagai simbiosis yang mana saling memerlukan antara satu sama lain dalam meneruskan survival industri nasyid dan karier artis itu sendiri. Sebagai penghargaan, ramai artis nasyid yang mengambil inisiatif menganjurkan program bersama para peminatnya. Tidak kurang juga yang menubuhkan fan club sendiri bagi menghargai bakat dan usaha para peminat dalam berpersatuan.

Komuniti Teman Inteam

Komuniti Teman Inteam atau ringkasannya KTI merupakan sebuah fan club bagi kumpulan Inteam yang telah ditubuhkan sejak tahun 2006. Kelab yang beroperasi secara maya ini turut menganjurkan beberapa program amal dan aktiviti yang melibatkan Inteam dan para penyokongnya sejak ianya ditubuhkan. Pada dasarnya, KTI mempunyai organisasi kepimpinan yang menjadi think tanker dan pelaksana program bagi setiap aktiviti yang dijalankan. Organisasi yang diberi nama Saf Kepimpinan KTI ini memberi tumpuan khusus dalam mengatur dan melaksanakan program-program amal disamping melatih ahli-ahli baru dalam aktiviti berpersatuan.

Pada tahun ini, KTI telah menganjurkan beberapa buah program menarik antaranya:

  • Majlis Doa Selamat Musafir Inteam Ke United Kingdom dan Saf Kepimpinan KTI baru (30/1/10)
  • Pelancaran Uniform Rasmi KTI (Muslimin) (11/2/10)
  • Program Amal Kau Di Hatiku 3. Kolaborasi antara KTI dan Famili Unic. (23/5/2010)
  • Rehlah KTI 2010 Julai/2010.

  • Iftar Jamaie KTI 2010 (26/8/2010)
  • Ziarah Mahabbah KTI (Rumah Allahyarham Ustaz Asri Rabbani) (29/8/2010)
  • Konvoi Raya KTI (26/9/2010)
  • Pilihan Raya Umum KTI 2011. (Disember 2010)

Famili Unic Rebranding!

Sejajar dengan konsep rebranding Unic pada tahun ini, Unic buat pertama kali menukar nama fan clubnya dari Sahabat Unic kepada nama yang lebih mesra dan dekat dengan para peminatnya, Famili Unic. Fan club yang baru di’rebranding’ ini mendapat sokongan dan penglibatan ramai penyokong dan peminat setia kumpulan Unic. Famili Unic juga turut mengadakan satu sesi pemilihan ajk bagi membentuk satu badan kepimpinan yang bakal menerajui fan club tersebut. Dalam pemilihan itu, Jamal Rafaie, seorang blogger terkenal telah dipilih menerajui kepimpinan Famili Unic serta dibantu oleh beberapa orang ahli Famili Unic yang berkebolehan.

Pada tahun ini, Famili Unic telah menganjurkan Kem UniQnya Ramadhan; sebuah program yang bermanfaat khusus untuk memperbaiki amal ibadah dalam menghidupkan bulan Ramadhan yang barakah. Program yang berlansung di Masjid Al-Ghufran TTDI ini mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada ahli-ahlinya. Pelbagai aktiviti yang telah dijalankan antaranya tilawah Al-Quran, bengkel taranum, qiyamullail dan banyak lagi.

Famili Unic juga telah mengadakan kolaborasi dengan Komuniti Teman Inteam dalam menganjurkan sebuah program amal, Kau Di Hatiku 3. Program yang telah berlangsung di Kompleks Sri Penyayang, Bandar sri Damansara ini turut melibatkan kumpulan nasyid Inteam dan Unic.

Maher Zain Malaysia Fan Club Cetus Fenomena Baru

Subhanallah, fantastik! Mungkin itu yang terpacul dari mulut mereka yang melihat perkembangan fan club baru ini. Menyusuri sejarah penubuhan MZM-FC, pada mulanya ia diasaskan oleh Akhi Fairuz Al-Jengkari yang bertindak membuka fan page tersebut pada awal tahun 2010. Peningkatan aura Maher Zain pada ketika itu semakin meningkat hingga wujudnya beberapa fan page Maher Zain Malaysia FC. Hasil perbincangan, akhirnya fan club ini disatukan di bawah page Maher Zain Malaysia Fan Club yang diterajui oleh Akhi Fairuz Al-Jengkari dan dibantu oelh 2 orang admin, Nur Shahidat dan Firuz Akhtar. Peningkatan ahli yang luarbiasa dicatatkan sewaktu kehadiran Maher Zain ke Malaysia pada awal Oktober 2010 apabila 2000 ahli mendaftar di page tersebut hanya pada satu malam!

Tidak terhenti disitu, MZM-FC juga turut membuat kejutan setiap kali Maher Zain tiba di Malaysia. Dengan banner yang menarik, kad ucapan, gambar dan yang terbaru banner Maher Zain, Malaysia as your second home menjadikan MZM-FC sebagai sebuah kelab yang cukup kreatif dan sentiasa mempunyai idea-idea malar segar.

MZM-FC juga turut mengumpulkan ucapan dedikasi ahli-ahlinya beserta gambar dan dijadikan sebuah buku khas. Buku tersebut diberikan kepada Maher Zain sewaktu malam akhir Showcase Maher Zain di Shah Alam anjuran Raudhatus Sakinah, Oktober lalu. Satu program formal MZM-FC yang boleh di highlight kan ialah 1st Gathering MZM-FC yang berlangsung di Pak Su Corner, Shah Alam. Majlis ini turut dihadiri oleh rakan artis dan juga wakil Raudhatus Sakinah.

Hafiz Hamdun Skype Dengan Peminat

Hafiz Hamidun tidak pernah kering dengan idea-idea baru. Terbaru, beliau mengadakan sesi chatting khas bersama para peminat beliau melalui laman Skype. Sesi yang berlangsung selama kira-kira satu jam itu memberi peluang para peminat berinteraksi secara terus dengan Hafiz Hamidun sendiri.

Castury Hargai Kesetiaan Peminat

Seperti tahun-tahun sebelumnya, Castury sekali lagi meraikan kesetiaan para peminatnya dengan mengadakan 2 majlis gathering istimewa iaitu Majlis Berbuka Puasa Bersama Castury dan Majlis Aidilfitri Castury di kediaman rasmi mereka yang terletak di Bangsar. Kumpulan yang popular dengan lagu Hanya Pasrah Menanti ini menyediakan pelbagai juadah yang menarik khas untuk menjamu para peminatnya berbuka puasa.

Castury juga tidak melepaskan peluang dalam menyambut kemuliaan Syawal apabila mengadakan satu majlis ramah mesra Aidilfitri bersama para peminat dan rakan artis. Disamping menjamu selera, para peminat dihidangkan dengan alunan lagu-lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan Castury sendiri. Castury juga membuka ruang kepada para peminat yang hadir untuk mencuba bakat dalam nyanyian apabila sesi karaoke disediakan khas untuk mereka.

sumber:

musyeed.com

HPA Lancar Akhil Perfumes

Shah Alam- Pada hari Sabtu, 6 November 2010, syarikat MLM Shariah terbesar Malaysia, HPA Industries telah melancarkan produk terbaru, Akhil Perfumes. Produk Akhil Perfumes ini telah dilancarkan oleh Akhil Hayy sendiri bersama Setiausaha Panel Syariah HPA, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil yang juga merupakan GM Zon Tengah HPA.

Majlis pelancaran Akhil Perfumes telah berlangsung di Menara HPAic di Seksyen 13, Shah Alam. Majlis yang dihadiri oleh ramai ahli perniagaan HPA ini diserikan lagi dengan persembahan ringkas oleh Akhil Hayy yang turut menghiburkan hadirin yang hadir.

Terdahulu, pada 26 Ogos 2010 Akhil Hayy telah mengadakan majlis pelancaran Akhil Network, sebuah perniagaan yang diusahakan oleh Akhil Hayy dan rakan beliau. Perniagaan yang beroperasi di Sentosa Avenue, Kajang ini dikatakan bakal mengeluarkan produk-produk kesihatan dan ibadah seperti Akhil Perfumes, Akhil Foot Patch, penapis air Akhil Hot & Cold, pakej Umrah dan pelbagai lagi.

Akhil Hayy merupakan seorang pendakwah bebas dan artis nasyid solo terkenal tanahair. Maklumat lanjut mengenai Akhil Network dan produk-produk keluaran Akhil Network, anda boleh layari www.akhil2u.com.

-MUNSYEED.COM

Thursday, December 30, 2010

Salah Faham Punca Maher Zain Tidak Muncul Di TV9



Penyanyi Popular, Maher Zain mengakui terdapat salah faham antara pihak produksi rancangan Nasi Lemak Kopi O (NLKO) di TV9 dengan pihak pengurusannya menyebabkan dia tidak hadir ke program tersebut, Ahad lalu.


Justeru, Maher meminta maaf terhadap kekeliruan yang menyebabkan masalah berkenaan.

“Saya tidak tahu langsung yang saya perlu hadir ke TV9 pada hari Ahad lalu. Keesokkannya baru kami tahu tentang hal itu. Terdapat sedikit salah faham tentang tarikh yang sepatutnya saya hadir.


“Saya minta maaf kepada semua, saya tahu ramai yang kecewa dalam hal ini dan kami telah berjanji dengan pihak TV9 untuk menghadirinya pada minggu depan,” katanya selepas majlis sidang media Maher Zain Live In Concert 2011.

Kegagalan Maher hadir ke program NLKO itu menyebabkan slot temubual selama 17 minit bersamanya digantikan dengan slot lain.

Penyanyi yang baru sahaja membuat persembahan pada Malam Amal anjuran Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia itu bakal mengadakan konsert Maher Zain Live In Concert 2011 pada 25 dan 25 Februari depan di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor.

Konsert tersebut adalah sebagai penghargaan kepada peminat-peminat yang berada bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Brunei, Singapura, Indonesia dan Filipina.

“Saya memilih Malaysia kerana negara ini memberi sokongan kepada saya, bukan sahaja peminat tetapi juga media-media di sini.

“Saya sangat bersyukur dan bertuah kerana diterima baik di negara ini. Saya juga menganggap Malaysia sebagai negara kedua saya,” katanya.

Dalam konsert tersebut Maher akan berkolaborasi dengan lebih 10 orang pemuzik antarabangsa termasuk kumpulan Inteam.

Segala maklumat konsert termasuk tiket yang berharga dari RM50 hingga RM200 akan diberitahu di laman web www.inteam.com.my dalam masa terdekat ini.

Bercerita tentang kerjaya, Maher memberitahu sedang dalam proses pembikinan album keduanya. Dia juga dalam proses merakam semua lagu Isha Allah versi Bahasa Malaysia.

“Saya akan keluar dengan album kedua tidak lama lagi. Dan lagu Insha Allah dalam Bahasa Malaysia, saya sudah melihat seni katanya dan masih belajar untuk sebutan yang betul,” ujar penyanyi yang dalam percutian di Malaysia bersama keluarga sehingga 1 Januari ini.

sumber:
studiokini

Konsep Klasikal Tunjang Album Baru Mestica

Karya-karya kumpulan nasyid Mestica sememangnya ditunggu-tunggu oleh ramai peminat nasyid. Konsep pelbagai yang sering dimuatkan dalam setiap album mereka membuatkan ramai yang menantikan setiap karya yang dihasilkan oleh kumpulan ini terutamanya para peminat setia mereka.

Ketika ditemui Munsyeed.com, salah seorang ahlinya, Muhammad Razin Che Mud menjelaskan bahawa mereka kini sedang rancak menyiapkan album keempat mereka di studio.

“Setakat ini, empat lagu sudah siap manakala baki enam lagu lagi masih dalam proses rakaman. Insyaallah kalau tiada apa-apa halangan, album terbaru kami akan menjengah di pasaran pada Februari 2011:”Ujar Razin.

Ketika ditanya mengenai konsep yang bakal diketengahkan dalam album ini, Razin menjelaskkan bahawa mereka memilih genre klasikkal sebagai tunjang di dalam rilisan kali ini. Menurutnya, ia seiring dengan kematangan yang banyak mendewasakan kumpulan tersebut.

Antara composer yang terlibat dalam pembikinan album yang masih belum bertajuk itu ialah Dakmie, Isman Hijjaz dan Mestica sendiri. Tambahnya lagi, album ini akan diterbitkan sendiri melalui Mestica Production manakala Nasyeed.Com akan bertindak sebagai pengedar.

“Single terbaru kami yang bertajuk Istikarah akan dimuatkan dalam sebuah kompilasi terbitan Nasyeed.com. Insyaallah, mungkin dalam seminggu dua ini, kami akan letakkan lagu tersebut di dalam Youtube”Kata Razin.

Kumpulan yang terdiri daripada Mohd Khairulnizam Zainol, Muhamad Razin Che Mud, Khalil Khusairi Tarmizi dan Shaiful Izzuddin Mohammad itu telah menghasilkan tiga buah album iaitu Sendu Sendawa (2003), Layar Keinsafan (2004) dan Badar 313 (2007) bersama Hijjaz Records. MUNSYEED.COM

Tuesday, December 28, 2010

Maher Zain Gagal Hadir Program Nasi Lemak Kopi O

Penyanyi terkenal Maher Zain gagal untuk hadir ke program siaran langsung Nasi Lemak Kopi O (NLKO) terbitan stesen televisyen TV9, di Sri Pentas, Ahad.


Menurut Produsernya, Wan Sabariah Shikh Ali, hal tersebut telah menyebabkan slot temubual selama 17 minit bersama penyanyi itu digantikan dengan slot lain.

“Sebelum ini semuanya berjalan lancar dan sehinggalah saat-saat akhir untuk slot tersebut, kami baru diberitahu bahawa Maher Zain tidak dapat dihubungi oleh penganjur.

“Jika program ini rakaman mungkin kami boleh tunggu tetapi ini adalah program secara langsung, malah kami sudah menuar-uarkan perkara tersebut beberapa hari sebelum ini,” katanya yang kesal dengan tindakan tersebut.

Jelas Wan Sabariah, temubual tersebut juga adalah permintaan daripada pihak penganjur KMG Globalzone sebagai mempromosi Malam Amal Setulus Kaseh bersama Maher Zain pada 26, 27 dan 28 Disember ini.

“Pihak penganjur yang memohon satu slot untuk Maher Zain sebagai promosi malam amal tersebut. Kami tidak ada masalah untuk beri beri promosi percuma kepada mereka tapi mereka juga sepatutnya beri kerjasama.

“Ini juga merupakan kali ketiga TV9 memanggil Maher Zain ke studio, tapi tidak sangka pula dia tidak dapat hadir pada saat-saat akhir,” ujarnya.


Dalam pada itu, Pengurus Besar KMG Globalzone, Kamel Ahmad, yang turut hadir di situ berkata, mereka sudah mengaturkan segalanya sebaik mungkin, namun perkara ini adalah di luar kawalan.

“Memang kami yang mengaturkan sesi temuramah ini untuk promosi malam amal, sehingga semalam kami diberitahu oleh pembantu peribadi penyanyi itu bahawa semua berjalan lancar.

“Sehinggalah pagi tadi mereka tidak dapat dihubungi, saya cuba untuk menghubungi mereka tetapi gagal,” katanya.

Dalam pada itu, penyanyi Lubnan ini akan membuat persembahan di Malam Amal anjuran Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia akan berlangsung pada 26, 27 dan 28 Disember ini, pukul 8 malam di Summit Hotel, Subang Jaya.

sumber:
studiokini

Imbasan 2010: Artis Dan Pengacaraan

Tahun 2010 mencatatkan sejarahnya yang tersendiri apabila ramai artis nasyid disunting ke bidang pengacaraan. Baik di radio mahupun di televisyen, artis nasyid menjadi pilihan syarikat media massa elektronik untuk diketengahkan, mengemudi rancangan-rancangan yang telah disediakan.

Hafiz Hamidun Sinonim Dengan Tilawah Interaktif

Nama Hafiz Hamidun sudah tidak asing lagi di dalam bidang pengacaraan. Satu demi satu tawaran pengacaraan hinggap di bahu penasyid muda yang terkenal dengan sifat kuat kerjanya (workaholic). Pada tahun-tahun sebelumnya, Hafiz Hamidun dilihat begitu aktif mengacarakan beberapa rancangan TV seperti Forum Perdana Hal Ehwal Islam dan beberapa program realiti TV seperti Akademi Nasyid dan Akademi Al-Quran. Namun pada tahun ini, dek kesibukan beliau dengan syarikatnya Arteffects Production, beliau hanya memilih untuk mengacarakan rancangan yang telah dipopularkan oleh beliau dan Ustaz Farid Ravi, Tilawah Interaktif. Rancangan terbitan JAKIM ini telah memberi impak yang begitu mendalam kepada masyarakat apabila rancangan kendalian Hafiz Hamidun bersama panel jemputan, Ustaz Farid Ravi ini berjaya menarik perhatian ramai penonton untuk turut sama memperbaiki bacaan Al-Quran mereka secara live di televisyen. Keberkesanan rancangan ini dilihat menjadi batu loncatan buat Hafiz Hamidun di dalam mengembangkan bakat pengacaraan beliau. Rancangan yang keudara di TV1 ini nyata semakin sinonim dengan Hafiz Hamidun apabila tahun ini merupakan tahun ke-4 beliau mengacarakan program yang cukup bermanfaat ini.

Adi Akmal Pembaca Berita TV AlHijrah

Adi Akmal, 24, telah disunting oleh TV AlHijrah sebagai wartawan penyiaran dan pembaca berita stesen TV tersebut. Adi Akmal yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan (Psikologi) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebelum ini pernah menjadi pengacara bagi rancangan U-Remaja, sebuah rancangan terbitan JAKIM di TV1. Beliau yang juga vokalis kumpulan Devotees mendapatkan bimbingan daripada Nizal Muhammad, bekas personaliti TV dari Media Prima yang kini menjadi Jururunding Pengacaraan. Dalam bidang nyanyian, Adi Akmal, selaku vokalis kumpulan Devotees telah tampil dengan album sulung mereka berjudul Tika Dinihari. Devotees kini sudah bersedia untuk tampil dengan album baru yang bakal menjengah di pasaran dalam masa terdekat.

Pyan Saujana dan DJ Siti Rohani Meriahkan Slot Pagi IKIM.FM

Suffian Amrin atau lebih mesra disapa Pyan Saujana telah disunting oleh pihak IKIM untuk mengendalikan Segmen Warna Pagi Radio IKIM.FM bersama DJ Siti Rohani. Pyan Saujana yang sebelum ini menjalani proses percubaan selama seminggu akhirnya telah dipilih untuk mengendalikan segmen pagi di radio milik Institut Kefahaham Islam Malaysia tersebut. Celoteh yang menghiburkan antara Pyan Saujana dan DJ Siti Rohani di segmen tersebut benar-benar menghidupkan suasana pagi pendengar setia radio IKIM.FM. Setiap pagi, mereka akan mengemukakan 1 topik untuk diperbincangkan bersama para pendengar. Ramai yang memberi respon positif melalui panggilan telefon dan tidak kurang juga di laman Facebook Warna Pagi IKIM.FM. Selain di bidang penyiaran radio, Pyan Saujana juga pernah terlibat dalam bidang pengacaraan televisyen apabila beliau terpilih mengendalikan rancangan Nasyid TV atau Nasyid Minggu Ini (NMI) di TV1.

Percubaan Pertama Amin Inteam di Majalah Islam TV AlHijrah

Inteam merupakan antara kumpulan nasyid yang gemar menghubungkaitkan setiap lagu-lagu nasyid alunan mereka dengan ayat Al-Quran mahupun Hadis. Dek kepetahan ini, salah seorang ahli kumpulan Inteam, Muhammad Hazamin Bin Harun atau lebih dikenali sebagai Amin Inteam telah disunting oleh pihak stesen TV Islami baharu Negara, TV AlHijrah untuk menjadi pengacara bagi rancangan Majalah Islam. Walaupun beliau seorang yang aktif dan petah berkomunikasi dengan audiens dimana-mana persembahan pentas sewaktu bersama Inteam, pengalaman di dalam bidang pengacaraan televisyen nyata memberi suatu dimensi yang baru dan mencabar buat Amin Inteam. Tugas yang digalas nyata berjaya dilaksanakan dengan baik apabila kemunculan pertama Amin Inteam di rancangan Majalah Islam itu mendapat respon yang positif daripada kalangan peminat.

Ustaz Nabil Cetus Diskusi Ilmiah Secara Santai Di Salam.FM.

Figura lulusan Al-Azhar ini begitu menyerlah dalam menyantuni para pendengar di Salam.FM. Kebijaksanaan Ustaz Nabil Ahmad melayani kerenah pendengar dalam diskusi ilmiah secara santai di Salam.FM membuatkan para pendengar sentiasa ternanti-nanti Ustaz Nabil ke udara di corong radio mereka. Penasyid daripada kumpulan Far East ini juga begitu mesra menyapa pendengar yang menghubungi radio Salam.FM tanpa mengira umur. Ustaz Nabil juga memberi peluang kepada para pendengar untuk menyampaikan ucapan serta membuat permintaan lagu melalui panggilan telefon mahupun di laman facebook milik beliau. Untuk rekod, Ustaz Nabil merupakan personaliti Astro Oasis yang mana beliau turut mengendalikan rancangan Jemputan Umrah dan banyak lagi.

Akbar Azmi Tenang Mengendali Rancangan Panggilan Agung

Baru-baru ini penulis terlihat kelibat Akbar Azmi mengacarakan sebuah rancangan di Astro Oasis. Rancangan yang diberi nama Panggilan Agung ini menceritakan tentang keindahan dan kebesaran salah satu ibadah yang menghubungkan manusia dengan ALLAH iaitu Solat. Akbar Azmi merupakan bekas ahli kumpulan Brothers yang telah memilih untuk muncul sebagai artis nasyid solo satu ketika dahulu. Akbar yang lama menyepi setelah menjalani kehidupan berkeluarga kelihatan begitu tenang mengendalikan rancangan tersebut. Kali terakhir penulis mendapat berita mengenai beliau sewaktu beliau berkongsi berita mengenai bisnes buku dan alatan ibadah yang diusahakan beliau di Seksyen 17, Petaling Jaya.

Pihak Munsyeed mengucapkan selamat berjaya buat semua artis nasyid yang terlibat dalam bidang pengacaraan dan penyiaran televisyen mahupun radio. Semoga lagi ramai artis nasyid yang akan diketengahkan dalam bidang pengacaraan ini pada tahun hadapan, 2011. Nantikan Imbasan 2010 edisi seterusnya pada esok hari. -MUNSYEED.COM

Imbasan 2010: Penasyid Dan Bisnes

Tahun 2010 memperlihatkan kesungguhan beberapa orang artis nasyid dalam memulakan dan memajukan bisnes mereka. Usaha ini dilihat sebagai satu langkah bijak artis nasyid dalam memajukan diri mereka serta meningkatkan kreativiti mereka sendiri. Berikut merupakan sedikit imbasan bagi beberapa artis nasyid yang mula berjinak-jinak ke bidang bisnes pada tahun ini.

Munif Hijjaz Ungguli Bisnes Perfumes

Keserasian hubungan bisnes Munif Hijjaz dan Abdul Malek dalam bisnes mereka melalui syarikat Munif Hijjaz Sdn Bhd menampakkan hasil apabila produk sulung mereka, Munif Hijjaz Perfumes terus mengungguli bisnes wangian di Malaysia. Syarikat yang ditubuhkan pada Disember 2009 ini muncul dengan produk sulung mereka, Munif Hijjaz Perfumes pada awal Januari 2010. Munif Hijjaz Perfumes mewarnai dada-dada akhbar, majalah mahupun media elektronik dengan iklan yang cukup menarik. Tidak cukup itu, paparan iklan di papan iklan Lebuhraya Sg Besi cukup menarik perhatian pengguna lebuhraya tersebut. Munif Hijjaz Perfumes berjaya mendapat tempat dikalangan pengguna perfumes dan sehingga kini, perniagaan wangian Munif Hijjaz Sdn Bhd semakin berkembang dengan variasi wangian yang cukup menarik.

Inteam Menceburi Bidang Penerbitan

Selepas kejayaan Inteam Records yang memberangsangkan, Inteam mengorak langkah menceburi bidang penerbitan buku dengan mewujudkan Inteam Publishing. Seperti Munif Hijjaz Sdn Bhd, Inteam Publishing ditubuhkan pada tahun 2009, namun menghasilkan produk pertama pada awal tahun 2010. Berkonsepkan Baca, Dengar dan Amal, buku-buku terbitan Inteam Publishing didatangkan dengan pakej buku beserta CD. Paling menarik, buku kanak-kanak Mari Berdoa terbitan Inteam Publishing mendapat tempat yang cukup baik dikalangan penggemar buku dan ibu bapa. Buku yang sangat laris ini mungkin produk terbaik Inteam Publishing pada tahun ini.

Rastudio Jalin Kerjasama Dengan Artis Indonesia

Selepas meninggalkan kumpulan UNIC, Syed Azlan atau lebih mesra disapa Alan menubuhkan perniagaannya sendiri atas nama Rastudio Management. Bekas vokalis kumpulan Rast ini dilihat begitu kreatif dalam menjalankan perniagaannya. Terbaru, Rastudio Management menjalankan kerjasama dengan artis religi dari negara jiran Indonesia, Dodi Hidayatullah. Melalui kerjasama tersebut, Rastudio diberi kepercayaan untuk mempromosi single pertama Dodi Hidayatullah berjudul Kerajaan Cinta. Rastudio juga begitu agresif mencari bakat-bakat baru untuk diketengahkan dalam industri nasyid tanahair.

Unic Ikut Jejak Sifu Tubuhkan Unic Records

Selepas kewujudan Hijjaz Records, Raihan Records dan Inteam Records, kini satu lagi entiti syarikat nasyid yang bakal mewarnai penerbitan album nasyid ditubuhkan iaitu Unic Records. Unic yang memilih untuk tidak menyambung kontrak dengan Hijjaz Records pada tahun 2010 telah mengambil inisiatif menubuhkan Unic Records untuk mengembangkan lagi perjalanan karier mereka sebagai penasyid. Syarikat yang beroperasi sepenuhnya di Sungai Petani, Kedah ini dilihat berpotensi untuk maju kehadapan pada tahun hadapan, 2011.

Perjalanan Bisnes Akhil di Akhil Network

Jika sebelum ini, Akhil menjalankan bisnes produk kelengkapan ibadah yang diusahakan bersama oleh bekas isterinya, Maizawati Zainal, kini Akhil meneruskan survival bisnesnya dengan mewujudkan Akhil Network. Syarikat yang berpusat di Kajang ini telah dilancarkan pada Ogos 2010 dengan dihadiri oleh ramai rakan media yang membuat liputan mengenai syarikat tersebut. Akhil Network mengusahakan produk-produk kesihatan seperti Akhil Foot Patch, Akhil Hot & Cold (Penapis air), Akhil Perfumes dan turut menyediakan pakej umrah yang dijalankan bersama sebuah agensi yang berdaftar.

Unic Biotrade Sdn Bhd Variasi Bisnes Unic

Kewujudan Unic Biotrade Sdn Bhd sedikit mengejutkan segelintir pihak apabila Unic yang sebelum ini menjalankan operasi Unic Records sepenuhnya di Kedah, kini mengusahakan Unic Biotrade Sdn Bhd yang berpusat di Kuala Lumpur. Unic Biotrade jelas membawa sedikit pembaharuan dalam bidang bisnes apabila tampil dengan produk sulungya Unic Aroma dan Unic Energy. Produk yang dilihat dekat dengan remaja dan pelajar ini amat bersesuaian dengan imej Unic sendiri yang begitu sinonim dengan golongan tersebut. Produk baharu ini dijangka bakal menarik perhatian golongan remaja dan juga golongan bekerja yang sangat menitik beratkan soal kesihatan dan kecergasan minda.

Faizal Hijjaz Services

Selepas kejayaan Munif Hijjaz dengan bisnes perfumes, kini giliran Faizal Hijjaz pula menceburi bidang bisnes. Faizal Hijjaz tampil dengan Faizal Hijjaz Services yang menyediakan perkhidmatan pakej perkahwinan lengkap termasuk khidmat fotografi. Faizal yang baru mendaftarkan bisnesnya hujung tahun ini dilihat sedang mengatur strategi bagi mempromosikan Faizal Hijjaz Services.

Alhamdulillah, selesai sudah imbasan 2010 bagi edisi Penasyid Dan Bisnes. Semoga pada tahun 2011, lebih ramai lagi artis nasyid yang berkecimpung dalam bidang bisnes. Kami di Munsyeed.com turut mendoakan agar semua penasyid berjaya dalam bidang bisnes mereka masing-masing.

Nantikan Imbasan 2010 untuk edisi yang seterusnya….

sumber:

munsyeed.com

Friday, December 24, 2010

Raja Syahdu Dari Renggo

Jika dulu beliau terkenal dengan lagu-lagu rock dan balada namun takdir Allah telah mengubah segalanya. Kepada peminat kumpulan Arrow sudah pasti ingat akan lagu Niat Hati Tak Nak Berpisah dan Tak Suka Tak Apa.

Selepas menyepi untuk tempoh yang lama, vokalis Arrow,Renggo membuat kejutan apabila menyertai Parti Islam SeMalaysia (PAS) pada awal 2009 lalu. Serentak dengan penyertaan tersebut, Renggo melancarkan album sulung dakwahnya,Pesan Tok Guru.


Dan kini, Renggo terus melangkah ke hadapan dengan menerbitkan album terbarunya, Raja Syahdu. Menariknya, kemunculan Renggo kali ini turut diiringi kumpulan Maharaja sebagai pemuzik. Maharaja (Islamic Rock Group) dianggotai Wan Screen dan Haiqal Rodney.

Renggo yang diberi jolokan Raja Syahdu juga masih aktif dalam pelbagai persembahan sama ada membabitkan pentas hiburan dakwah ataupun anjuran gerakan-gerakan Islam serta kerajaan-kerajaan negeri.

Walaupun tampil dengan imej baru,namun Renggo masih mempunyai peminat tersendiri. Difahamkan jualan album Raja Syahdu amat memberangsangkan walaupun dijual secara terus kepada peminat.

Album Raja Syahdu mengandungi 7 buah lagu. Menariknya,album ini mengandungi lagu-lagu berunsur dakwah serta balada dan rock. Lagu-lagu yang terdapat dalam album ini ialah Esa (metal), Bismillah, Mencari Jalan Pulang, Atas Nama Cinta, Ibuku Syurgaku, Pahit Tak Ku Buang Manis Tak Ku Telan dan Jom Solat (bonus track). Lagu Esa merupakan nyanyian semula dalam versi rock.Lagu tersebut turut terdapat dalam album Pesan Tok Guru.

Dapatkan segera album Raja Syahdu dipasaran. Album terbitan Red Button Production ini boleh didapati melalui show-show Renggo atau Facebook (taip Maharaja atau Yusri Yusuf).

sumber:
studiokini

Aroma UNIC Segarkan Badan Daripada Kelesuan

Baru-baru ini, kumpulan UNIC telah melancarkan produk terbaru dibawah jenama mereka sendiri. Produk yang berasaskan aroma itu dinamakan sebagai UNIC Aroma.

Menurut mereka, AROMA UNIC bukannya sejenis minyak wangi, tetapi ia bertindak sebagai agen untuk menyegarkan badan daripada mengantuk dan kelesuan badan ketika belajar, bekerja atau memandu

Produk Aroma UNIC ini dihasilkan dari kilang IMP (Islamic Manufacturing Practice) dan mendapat pengiktirafan GMP (Good Manufacturing Practice). Produk ini berkualiti, selamat, dan pastinya halal.

Selain itu, pihak UNIC juga membuka peluang para pengguna menambah pendapatan bersama UNIC. Mereka mempelawa orang ramai untuk menjadi Rakan Niaga UNIC (R.N.U) dengan menghubungi UNIC Biotrade. Untuk keterangann lanjut dan mendapatkan produk ini, bolehlah menghubungi UNIC Biotrade di talian 03-4022 9300

Produk ini dijual dengan harga RM 16.00(S/M), RM 22.00 (S/S)

Sunday, December 19, 2010

Review Album ITQAN:Rindu

oleh: revolterAMI

Belum terlambat lagi untuk saya mereview album kedua ITQAN:Rindu. Walaupun album Rindu telah dibeli awal Disember 2010 tapi kekangan masa melewatkan sikit review album ni.

Album Rindu merupakan album terbitan Kelab Nasyid ITQAN yang berpusat di Negeri Sembilan. Kumpulan nasyid ITQAN itu sendiri merupakan kumpulan nasyid bagi Institut Tahfiz al-Quran Negeri Sembilan.Album ini diedarkan secara komersial oleh Sony Music Malaysia dan Nasyeed Edutainment.

Pertama kali dengar album ni, rasanya rugi apabila album pertama mereka,Kasih tak dibeli.Kenapa? Penulis baru sedar yang ITQAN turut mempunyai kebolehan vokal yang hebat!

Ketika mendengar album Rindu, penulis teringat kembali era kegemilangan nasyid semasa kewujudan jemaah Darul al-Arqam. Tak silap penulis, semua lagu dalam album Rindu adalah nafas baru bagi lagu-lagu lama kumpulan Al-Anwar (betulkan jika tersilap).

Mengandungi 11 tracklist,penulis cuba reviewkan satu-persatu lagu mengikut minat penulis.

Selawat: Lagu selawat ini merupakan pembukaan bagi album Rindu. Selawat pendek ini nyata mempunyai kekuatan vokal sebagai pembukaan album.


Senandung Kesyukuran: Tak silap penulis,lagu Senandung Kesyukuran pernah dipopularkan oleh Al-Anwar.Penulis suka lagu ni. Rentaknya tak menjadi 'ubat tidur'. Malah apabila ketika memandu,ia mampu menyegarkan minda penulis dengan lirik-lirik yang manfaat. Lebih menceritakan pentingnya kita bersyukur kepada Allah dalam apa jua tindakan.

Indahnya Kalam Tuhan: Keindahan ayat-ayat al-Quran diceritakan dalam lagu ini. Lagu ini boleh tahanlah. Suka dengar lagu ni.

Kasihmu Ibu: Lagu paling penulis suka dalam album Rindu.Pertama kali dengar, terus menangis. Mampu membuat kita terfikir tentang jasa-jasa ibu kita.

Alangkah Indah: Lagu ini menceritakan indahnya hidup berpandukan al-Quran dan As-Sunnah.Hidup manusia akan terus harmoni jika sumber Islam ini dijadikan panduan. Best lagu ni tapi susunan muzik kalau dirancak sedikit,mampu memenuhi citarasa remaja.


Rindu Akhirat (feat Al-Anwar): Comeback al-Anwar memang mantap! Lagu ni pun mantap! Suka sangat lagu ni. Arrangement muzik,lirik yang berfaedah melengkapkan kehebatan lagu ni. Mampu mengubat kerinduan terhadap al-Anwar.

Bisikan Rindu Buatmu Guru: Boleh tahan lagu ni. Kurang minat sangat. Tapi masih mampu membuatkan penulis sedar pengorbanan para guru. Kalau kita dengar sambil hayati lirik, memang akan tersentuh.

Iman Asas Keteguhan Ummah: Bagi mereka yang mencari cara untuk mengukuhkan perpaduan,cubalah hayati lirik lagu ni. Manusia hanya bersatu dengan keteguhan iman. Lagu ini menceritakan kepentingan iman sebagai asas utama menyatukan ummah. Best lagu ni sebab memberi sejuta makna.


Surah-surah al-Quran: Lagu berbentuk edutainment. Mudah untuk kita hafal nama-nama surah kalau kita menghafal lagu ni. Kalau sebelum ni kita didedahkan nama-nama Malaikat, 25 Rasul, Rukun Islam,Rukun Iman melalui lagu-lagu Raihan, kali ni lagu ni mampu dedahkan kita nama semua surah dalam al-Quran.


Narration- Khutbah Wida': Khutbah terakhir Rasulullah dibacakan maksudnya dalam album Rindu. Dengar dan hayati pesanan Rasulullah dalam khutbah ni.

Zikir Rindu (feat Rabbani): Lagu duet bersama Rabbani ni pun memang mantap. Rugi kalau tak dengar. Mengisahkan sirah Rasulullah. Tak silap pemahaman penulis,lagu ni tentang rindu kita kepada Baginda.

Secara keseluruhan,tak rugi beli album ni. Bolehlah dibeli di kedai-kedai berdekatan. Harga RM20.90.

sumber:
studiokini

Hasnul Jamal DiWani

Akan Datang Album terbaru Hasnul Jamal
dalam versi English



Hasnul Jamal Sulaiman merupakan munsyid yang sudah dikenali ramai dengan munculnya di dalam album pertama beliau iaitu kumpulan Diwani bersama rakan-rakannya.Tidak hairan la album tersebut menjadi fenomena di Malaysia dengan lagu-lagu rohani yang menyentap di hati manusia apabila mendengarnya dan menghayati bait-bait lagu ataupun lirik di dalam album Diwani.

Album Pertama Kumpulan Diwani

Info :
Album Jalan Yang Satu pada tahun 1998 yang diterbitkan oleh Ambang Kalsik TV3

Kumpulan Diwani merupakan sebuah kumpulan pemuzik dan penyanyi yang aktif di Malaysia. Kumpulan ini menyampaikan lagu-lagu nasyid Melayu. -Sumber Wikipedia Diwani

Lagu Hit Diwani " Subhanallah "




lagu hit Mukmin Sejati




Album Satu Cinta

Dalam Album Satu Cinta ini Hasnul Jamal kini bergerak secara solo.Namun begitu,"kumpulan Diwani masih lagi wujud sehingga hari ini",ujar Hasnul Jamal.Beliau kini sedang menyiapkan rakaman album dan insyaallah album terbaru beliau bakal dilancarkan pada bulan Februari 2011 dalam bahasa english.

sumber:
fenomenasyid

Penjelasan Mirwana di Harian Metro

Bukan kerana Faizal Tahir
DITUBUHKAN hampir 18 tahun lalu, Mirwana yang dianggotai Muhammad Akmal Uddin Samsudin (Akmal), 30; Syed Muhammad Ikram Syed Mahadi (Ikram), 26; Muhammad Hafiz Tamizi (Hafiz), 30; Mohd Hafiz Hamzah (Along), 30, dan Naemul Helmi Mohd Napiah (Naim), 30, pada asalnya bertapak sebagai kumpulan nasyid.
Sepanjang pembabitan mereka dalam industri muzik, beberapa kejayaan turut dicapai antaranya memenangi Anugerah ERA, 2004 dan 2005 bagi kategori Lagu Duo/Berkumpulan menerusi lagu Aku Tanpa Cinta Mu menampilkan Jay Jay selain lagu Hikmah Kembara.

Menyingkap sejarah awal Mirwana, ia ditubuhkan pada 1991 oleh Yassin Sulaiman. Waktu itu kelima-lima anggotanya masih menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Hamidiah, Kajang, Selangor. Yassin, menuntut di sekolah sama turut bertanggungjawab membawa kumpulan itu bergelar artis rakaman, namun mereka bergerak sendirian. Sepanjang tempoh itu anggota kumpulan Mirwana turut bertukar ganti.

Malah, penyanyi Faizal Tahir juga pernah menganggotai kumpulan itu, namun jodoh mereka tidak panjang selepas Faizal mengambil keputusan untuk bergerak solo.

Sewaktu bergerak sendiri (indie) Mirwana sudah menghasilkan tujuh album dan album solo pada 2004, dan 2005 mereka tampil dengan album Repakage menampilkan lagu Aku Tanpa Cinta Mu. Awal tahun ini Mirwana muncul dengan album baru Bumi Akhir Usia juga tampil dengan konsep baru.

Kemunculan mereka dengan album Bumi Akhir Usia, mengelirukan ramai pihak termasuk orang dalam industri. Malah baru-baru ini menerusi ruangan Soseh-Soseh, Mirwana ditegur apabila mengelirukan peminat yang mahu mengundi mereka dalam pencalonan Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH2010), apabila dicalonkan dalam dua kategori iaitu Artis Nasyid dan Artis Berkumpulan.

Perkembangan itu secara tidak langsung menimbulkan polemik. Ramai bertanya di mana kedudukan kumpulan ini sebenarnya dalam industri terutama berkonsepkan nasyid? Mengapa mereka memilih untuk tampil dengan imej popular? Adakah Mirwana tidak lagi yakin dengan muzik nasyid?

Ada bisik-bisik mengatakan, anggota kumpulan Mirwana cuba mengikut jejak langkah bekas anggota kumpulannya Faizal Tahir yang berjaya sebagai artis solo selepas meninggalkan kumpulan itu. Menerangkan kedudukan sebenar anggota Mirwana, Akmal menjelaskan kepada wartawan Rap, Rudy Imran Shamsudin (imran@hmetro.com.my), baru-baru ini.

RAP: Mengapa Mirwana tiba-tiba mengubah konsep muzik?

MIRWANA: Sebenarnya jika peminat mengikuti perkembangan Mirwana sejak awal pembabitan kami dalam industri muzik pasti mereka faham. Sewaktu bekerja dengan Yassin, muzik yang kami dendangkan bukanlah tipikal nasyid. Sebelum ini pun sewaktu kami mengenengahkan lagu Inggeris seperti Sure You Can, Show Me The Way, Quranic Generation yang dihasilkan bersama Yassin, ia diterapkan dengan irama pop dan rap. Memang Mirwana bergerak di bawah jalur muzik nasyid, tapi kami tidak pernah menyatakan bahawa kami kumpulan nasyid secara terbuka.

RAP: Adakah Mirwana tidak yakin dengan muzik nasyid?

MIRWANA: Mirwana sejak dulu memang suka membuat eksperimen dengan pelbagai jalur muzik. Kami sangat terbuka apabila menyentuh soal itu. Sekiranya anda mendengar setiap lagu yang kami tampilkan dalam album terdahulu dan Bumi Akhir Usia kami menampilkan lagu berunsurkan pop, R&B dan ada sesetengahnya kami sulamkan dengan irama etnik fusion. Lagu dendangan Mirwana memang jauh beza dengan nasyid konvensional yang dipelopori Raihan dan Rabbani. Cara nyanyian kami juga berbeza. Mirwana sendiri banyak mendengar lagu accapela, malah kami juga pernah mendendangkan lagu dipopularkan Boyz II Men sewaktu mengadakan persembahan.

RAP: Secara jujurnya, di mana Mirwana dalam industri muzik?

MIRWANA: Kami berjuang dengan cara sendiri. Kami ada kepercayaan dan strategi sendiri. Anggota Mirwana turut menghasilkan lagu dan lirik dengan cara Mirwana sendiri. Macam sekarang selepas lima tahun kami mengkaji dan melihat artis naysid luar seperti di Indonesia. Mereka bukan seperti industri tempatan di mana muzik nasyid lebih terbuka. Ada yang mendendangkannya dalam bentuk 'band' seperti kumpulan Wali. Ada juga artis popular seperti Ungu menghasilkan lagu ketuhanan iaitu Andai Ku Tahu dan ia cukup popular. Kami turut mengkaji muzik berkonsepkan ketuhanan dihasilkan artis barat seperti Outlandish, Soldiers of Allah. Ada antara mereka menampilkan muzik nasyid berbentuk rap dan agresif rap. Mereka juga lebih terbuka dari segi muzik dan penampilan. Dalam masa lima tahun kami berkembang mengikut arus. Sebenarnya konsep kami lebih kepada lagu-lagu ketuhanan dan kerohanian. Perlu saya tegaskan di sini bahawa nasyid bukan sekadar irama padang pasir. Mesej keagamaan dan kerohanian boleh disebarkan dalam pelbagai jenis muzik. Di luar negara ia sangat terbuka. Rasanya Mirwana adalah kumpulan nasyid pertama yang mengadakan persembahan dengan bermain gitar. Kami tidak memakai kopiah sebaliknya senang dengan baret (topi). Kami juga satu-satunya kumpulan nasyid yang mengenakan seluar jeans dan kasut sukan. Kita perlu ingat bahawa Islam itu sangat sejagat. Semua orang layak untuk didakwah dan berdakwah.

RAP: Bekerja dengan kumpulan indie popular seperti Hujan, tidakkah ia akan membuatkan peminat keliru dengan Mirwarna?


MIRWANA: Dengan hujan kami mendendangkan lagu Tika Masanya dan kami turut mendendangkan lagu Menefestasi Cinta bersama Fiq. Malah, lagu terbabit layak bertanding ke separuh akhir juara lagu baru-baru ini. Pada Mirwana ini cara kami untuk meluaskan mesej disampaikan kepada pendengar. Seperti yang kita tahu Hujan dan Fiq ada ramai peminat. Ini adalah strategi Miwarna untuk mendekati golongan peminat yang tidak dapat didekati sebelum ini.

RAP: Sejauh Mana pengaruh Faizal Tahir membuatkan Mirwana mahu beralih arah?

MIRWANA: Perubahan Mirwana tiada kena mengena dengan Faizal Tahir. Segalanya berlaku selepas kami mendalami bagaimana bentuk muzik nasyid dan perkembangannya. Lihat Maher Zain, dia tampil dengan imej yang sangat sederhana. Hendak diikutkan apa yang ditampilkan Maher Zain, kami sudah buat dari dulu. Maher tidak pernah menyatakan dia artis nasyid, tetapi apabila mendengar lagunya kita tahu dia membawakan lagu bermesej ketuhanan. Walaupun tidak menyatakan kami anggota kumpulan nasyid tapi kami mempunyai perjuangan sama dengan kumpulan nasyid lain. Pendekatan kami berbeza. Dakwah ini untuk semua orang, bukan untuk golongan tertentu saja. Malah, penggiat nasyid juga bebas untuk bekerja dengan kumpulan rock atau hip hop. Apa yang penting mesej yang kita sama-sama hendak sampaikan boleh diterima.

RAP: Ada yang menuduh Mirwana tak tetap pendirian?


MIRWANA: Orang yang kata begitu sebenarnya tidak mengikuti perkembangan kami. Apa bukti menunjukkan kami tidak tetap pendirian. Kami masih orang yang sama, perjuangan masih sama dan semuanya berpegang teguh kepada Islam, cuma jalur muzik, penampilan penyampaian saja berbeza dalam usaha untuk memenuhi matlamat mendekati semua pendengar.

RAP: Penjelasan Mirwana mengenai kekeliruan kategori dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010?


MIRWANA: Kami sudah menyatakan bahawa kami bukan kumpulan nasyid sebaik saja album Bumi Akhir Usia. Kami lebih kepada kumpulan vokal berharmoni dan dari segi konsep muzik kami lebih terbuka. Kami menghormati semua jenis muzik dan tidak membezakannya cuma apa yang kami kekalkan adalah lirik dan mesej sejagat iaitu kerohanian, kemanusiaan dan ketuhanan.

sumber:
studiokini

Album Baru Generasi Harapan

Generasi Harapan Berpower Dalam Album

Generasi Harapan terus melangkah ke hadapan dengan menerbitkan album terbaru. Kali ini mereka tampil dengan album baru berjudul Power Kaabah. Difahamkan album ini merupakan album kedua atas nama Generasi Harapan (GH) selepas album Allah Itu Maha Besar Islam Itu Maha Benar.

Kumpulan yang terdiri daripada adik-beradik hasil sistem poligami ini, nyata membawa kelainan dalam album kali ini. Mereka semakin 'power' dalam album Power Kaabah.

Album terbitan Global Ikhwan Sdn Bhd dan diedarkan oleh Ikhwan Distribution ini memuatkan 13 tracklist. Dimulakan dengan monolog 1, dan diikuti oleh lagu pertama,Power Kaabah. Setiap lagu akan diselang selikan bersama monolog.Antara lagu-lagu yang menarik ialah Power Kaabah, Cahaya, Rahsia dan Madinah Munawwarah.

Hasil jualan album ini cukup membanggakan. Difahamkan,cetakan pertama album Power Kaabah telah habis dijual dan kini masuk ke cetakan kedua pula. Walaupun dijual secara terus kepada peminat,namun ia tak menghalang para peminat untuk mendapatkan album ini.

Sedikit mengenai GH, mereka merupakan kumpulan nasyid bertaraf antarabangsa dan kerap-kali mengadakan persembahan di negara-negara luar.

Mungkin ramai masih ingat akan kumpulan Mawaddah. GH boleh dikatakan kumpulan yang sama dengan Mawaddah namun Mawaddah lebih kepada kumpulan yang terdiri daripada pelbagai anggota manakala GH adalah kumpulan adik-beradik. Secara mudah, GH adalah Mawaddah dan Mawaddah tidak semestinya GH.

Kepada yang berminat untuk memiliki,sila hubungi pengurusan GH/Mawaddah di laman web Mawaddah atau laman Facebook Mawaddah. Pra-dengar album ini boleh didapati di laman rasmi Mawaddah

Komuniti Teman Inteam Terap Demokrasi Dalam Memilih AJK

Kelab Peminat kumpulan Nasyid Inteam sedang dalam proses untuk memilih ahli jawatankuasanya yang baru. Kelab yang dikenali sebagai Komuniti Teman Inteam (KTI) itu meneruskan tradisi mereka melalui undian.

Apa yang menarik, proses undian ini mirip dengan sistem demokrasi di Malaysia dimana ia turut melibatkan proses penamaan calon, proses berkempen dan pengundian. Malah, anggota kumpula nInteam dan pihak IRSB sendiri terlibat secara langsung dalam proses pengiraan undi ahli jawatan kuasanya.

Menurut salah seorang anggotanya, Muhammad Hazamin Harun, Berdasarkan format pilihanraya sebelum ini, sistem cadangan atau penamaan calon akan dibuat secara terbuka manakala sistem undian akan diadakan menggunakan PM (private message) kepada pihak Inteam.

“Setiap cadangan hendaklah mendapat sokongan ahli KTI yang lain sekurang-kurangnya 2 orang penyokong untuk diterima. Semua jawatan adalah terbuka untuk sesiapa saja warga KTI samada yang telah memegang jawatan atau belum.”

Sesi mengundi akan diadakan dua minggu terakhir bulan ini, setelah senarai nama-nama calon dikeluarkan secara rasmi. Pihak mereka juga berharap agar para pengunjung KTI yang mencecah jumlah hampir 12530 dapat memeriahkan lagi pemilihan Ahli Jawatankuasa yang mirip sistem pilihanraya ini.

sumber:

munsyeed.com

Album Baru HRSB

Vokalis kumpulan Hijjaz, Munif Ahmad bukan sahaja dikagumi dengan kelunakkan suara beliau melantunkan lagu-lagu nasyid dan zikir. Malah, penyanyi yang berasal daripada Johor ini turut diakui akan kehebatannya mencipta lagu-lagu popular. Ini dibuktikan dengan bukti bahawa karya-karya beliau sememangnya hebat, ‘berhantu’ dan mempunyai daya untuk mendaki beberapa carta lagu popular.

Baru-baru ini, syarikat Hijjaz Records mengeluarkan kompilasi terbaik lagu-lagu bertemakan Rasulullah SAW hasil karya Munif Ahmad. Hasil karya Munif ini dihimpunkan di dalam kombilasi yang bertajuk Dia Kekasih Allah.

Apa yang menarik, ia turut memuatkan susunan semula muzik dan vokal bagi lagu Rasulullah, Dia Kekasih Allah dan Rasul Junjungan. Selain itu, kompilasi ini turut memuatkan lagu-lagu yang dinyayikan oleh artis-artis dibawah HRSB seperti Inteam, UNIC, Syifa dan Mestica.

Album yang dijual dengan harga RM 25.90 ini boleh didapati di kedai muzik dan kedai-kedai buku agama terpilih.

Dalam pada itu, HRSB turut mengeluarkan zikir-zikir terbaik Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim, bekas vokalis Rabbani. Allahyarham seperti yang diketahui telah mengeluarkan beberapa album zikir sepanjang hayatnya. Oleh sebab itu, pihak HRSB turut mengeluarkan himpunan zikir terbaik figura hebat yang digelar ‘Pahlawan Nasyid’ itu.

Album kompilasi yang bertajuk Koleksi Terbaik Asri Ibrahim dijual dengan harga RM19.90 dan boleh didapatkan dipasaran.

MUNSYEED.COM

Saturday, December 11, 2010

ALBUM TERBARU HADDAD ALWI 'MUHAMMAD NABIKU'

Album Muhammad Nabiku 2010


Bersama 2 gadis cilik Anti & Vita, Haddad Alwi kini dengan mengeluarkan album terbaru beliau yang berjudul MUHAMMAD NABIKU. Album kali ini bergaya pop-religius, terdiri daripada 9 lagu dengan lagu hits berjudul "Rindu Muhammadku".

Track list Album Muhammad Nabiku :

1. Jadikan Kami Anak Yg Sholeh
2. Muhammad Nabiku
3. Rindu Muhammadku
4. Sambut Rahmat-Nya
5. Jagalah Sholatmu
6. Mencinta Nabi
7. Engkau Teladanku
8. Selamat Datang Kekasih
9. Tuhan Dengarlah Keluhku

Harga CD : Rupiah 35.000,-
100 % Original CD

sumber:
fenomenasyid.blogspot.com

Amy Berduet Dengan Maher Zain?

Petikan Berita Harian 10 Disember 2010

SEWAKTU rakan sekerja Cik Normah pergi menonton teater Natrah musim kedua baru-baru ini, dia sempat berbual-bual dengan rocker popular tanah air, Amy, yang kebetulan turut berada di Istana Budaya kerana memberikan sokongan kepada anak perempuannya, Nabila, yang berlakon dalam pementasan itu.

Apabila sudah asyik bersembang, banyak jugalah topik yang mereka kongsi bersama. Namun paling menarik bagi Cik Normah tentunya perancangan Amy untuk berduet bersama penyanyi kerohanian terkenal antarabangsa, Maher Zain.

Khabarnya, kedua-dua penyanyi hebat ini pada dasarnya sudah pun bersetuju untuk merakamkan lagu bersama-sama, cuma pada ketika ini masing-masing masih mencari material yang terbaik untuk tujuan itu. Jika semuanya berjalan dengan baik, rakaman lagu itu berkemungkinan besar dilakukan pada awal tahun depan.

Jika perancangan itu menjadi realiti, ia muncul projek rakaman bersama lagu kerohanian kedua membabitkan Amy. Kalau tak silap Cik Normah, pada 2008, dia pernah merakamkan lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur bersama kumpulan nasyid Rabbani.

Amy sendiri semakin dekat dengan irama ketuhanan sejak ‘berhijrah’ beberapa tahun lalu. Jadi, tentunya perancangan untuk berduet bersama Maher sesuatu yang amat kena dengan dirinya pada ketika ini. Ia juga pasti muncul projek yang ditunggu-tunggu ramai peminat, dek bakat besar milik kedua-dua penyanyi ini.

Selain projek duet, Amy juga khabarnya sibuk menyusun pelbagai lagi rancangan khas sempena 30 tahun kewujudan kumpulan Search di persada seni. Tahun depan pastinya menjadi satu lagi tahun yang cukup sibuk buat penyanyi ini, setelah begitu banyak projek membabitkan dirinya pada 2010 ini termasuk konsert menggabungkan Search dan Wings di beberapa lokasi.

Cik Normah hanya mampu mendoakan semoga segala usaha dan niat murni Amy akan terlaksana dengan sempurna. Cik Normah tumpang berbangga apabila penyanyi seperti Amy terus ligat walaupun sudah berdekad menghambakan diri pada dunia seni tanah air.

sumber:
studiokini.blogspot.com

Dakwah Muharram: Artikel StudioKini

Dakwah Muharram dan Al Farabi Band

Pada awal Muharram 1432H, sebuah stesen TV terkenal negara telah menyiarkan drama yang diberi nama,Dakwah Muharram. Hati terdetik untuk menonton drama ini kerana Dakwah Muharram ada sedikit sebanyak kaitan dengan dunia hiburan.

Hobi terhadap muzik cuba dilihat dari sudut positif oleh pengarah drama terbabit, Erma Fatima. Sebelum ini, amat jarang untuk penulis meminati drama-drama terutama drama Melayu. Kenapa? Kerana jalan ceritanya hampir sama. Tapi kelainan Dakwah Muharram nyata memberi mesej tersendiri.

Drama yang mengisahkan seorang anak muda yang meminati muzik,dan bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik,disekat oleh ayahnya. Alasan utama, muzik melalaikan manusia dan terlalu negatif. Apabila abangnya pulang dari Kaherah,abangnya menyokong si adik untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik.

Malah abangnya cuba berdakwah menggunakan muzik. Cadangan untuk menyambut awal Muharram dengan mengadakan konsert di khalayak ramai (di Bukit Bintang) dilihat pelik oleh golongan agama.Penamat drama ini, adiknya tetap menjadikan muzik sebagai hobi dan memilih jurusan yang diminta ayahnya manakala abangnya pula berjaya membuka sedikit mata masyarakat bahawa dakwah perlu dilihat pada kumpulan sasaran.

AL FARABI BAND CETUS EVOLUSI


Al Farabi Band
Apa kaitan drama tersebut dengan Al Farabi Band (AFB)? Al Farabi Band merupakan kumpulan muzik yang tampil dengan imej rock dakwah. Nak kata nasyid pun tidak,rock pun tidak. Tetapi jalan cerita Dakwah Muharram hampir sama dengan pendekatan AFB.

Boleh dikatakan AFB merupakan antara kumpulan muzik yang berjaya dan cuba mendekati anak-anak muda dengan cara berbeza. Tumpuan mereka bukan hanya 'budak-budak surau' tetapi turut melibatkan anak-anak muda biasa. Maksudnya, anak-anak muda yang bukan dari golongan agama,dan nasyid.

Pada awalnya, penulis rasa pelik dengan AFB.Mula mengenali AFB hanya melalui myspace dan akhirnya, album mereka dibeli.Apabila dihayati, nyata tidak ada apa yang perlu dikesalkan sebab albumnya memang best! Penulis sendiri lebih senang dengan cara AFB kerana lirik-lirik lagu mereka,walaupun ada yang lagu evergreen, tetapi memberi mesej yang jelas.Persoalan perjuangan menjadi mesej utama dalam lagu-lagu mereka.

Persamaan antara Dakwah Muharram dan AFB yang penulis nampak ialah usaha berani melakukan perubahan dalam pendekatan dakwah.Dakwah Muharram memaparkan watak yang dilakonkan Aqasha untuk menganjurkan konsert hiburan Islam pada sambutan Maal Hijrah agak sama dengan usaha AFB mendekati anak-anak muda.
Pendekatan AFB,misalnya melalui penganjuran Al Farabi Battle of the Band, telah membawa kelainan dalam muzik Malaysia. Penyertaan dari band-band anak muda yang bukan beraliran dakwah amat memberangsangkan. Tradisi penganjuran program tersebut ialah melaksanakan solat secara berjemaah sebelum pertandingan. Pelik tapi benar.

Kejayaan Al Farabi Battle of the Band telah membolehkan penganjuran program tersebut dibuat secara bersiri. Sehingga artikel ini ditulis, pertandingan tersebut telah memasuki siri kedua dan bakal tampil dengan siri ketiga.

Penulis mengharapkan pendekatan AFB dijadikan contoh dalam mendekati remaja-remaja biasa. Bukan untuk mendewakan AFB tetapi sekadar kagum dengan cara mereka bermuzik. Rock rock juga tapi dakwah jangan lupa!

*hanya pandangan peribadi penulis. tertarik dengan lagu Iman Dunia nyanyia Aqasha dan Amer Sofaz.

sumber:
studiokini.blogspot.com

Thursday, December 9, 2010

KL Berselawat: Seluruh Mahabbah Untuk Rasulullah

AlMalwid kembali lagi dengan penganjuran Kuala Lumpur Berselawat!

Kali ini, Program Kuala Lumpur Berselawat akan diadakan di Dataran Pusat Islam, Kuala Lumpur. Program ini mendapat kerjasama dan sokongan padu dari Stesen TV AlHijrah, Madras An-Nur dan ramai lagi.

Program Kuala Lumpur Berselawat pada kali ini akan diadakan bermula Jumaat, 10.Disember.2010 dan 11.Disember.2010, jam 9 malam.

Program ini akan turut disertai oleh beberapa artis tempatan antaranya Almawlid, Marjan, Mirwana, Kumpulan QasidahYayasan Al-Jenderami, Altimet dan ramai lagi. Masuk adalah percuma.

Berikut adalah gambar-gambar kempen Showcase Kuala Lumpur Berselawat.

Kumpulan Inteam

Adi Akmal (Wartawan, Pembaca Berita di TV AlHijrah dan vokalis kumpulan Devotees)

Ahnaf (Algebra) dan bekas kumpulan Innuendo.

Noh Hujan

Nizal Muhammad.

Sein (Bekas ahli Ruffedge)

Almawlid

Kuala Lumpur Berselawat.

Mu’adz Dzulkefly dan Azan Ruffedge.

Amer Munawer, Pencetus Fenomena KL Berselawat.

Hakmilik semua gambar: Almawlid kecuali gambar Mu’adz. Gambar Mu’adz Dzulkefly dan Azan Ruffedge milik Mu’adz Dzulkefly.

Semarakkan cinta terhadap Junjungan Besar, Nabi Muhammad s.a.w.

Sungguh Nabi Muhammad s.a.w. sangat sayang kepada kita, umatnya.

-MUNSYEED.COM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...