FOLLOWERS NASYID2U

Saturday, December 11, 2010

Amy Berduet Dengan Maher Zain?

Petikan Berita Harian 10 Disember 2010

SEWAKTU rakan sekerja Cik Normah pergi menonton teater Natrah musim kedua baru-baru ini, dia sempat berbual-bual dengan rocker popular tanah air, Amy, yang kebetulan turut berada di Istana Budaya kerana memberikan sokongan kepada anak perempuannya, Nabila, yang berlakon dalam pementasan itu.

Apabila sudah asyik bersembang, banyak jugalah topik yang mereka kongsi bersama. Namun paling menarik bagi Cik Normah tentunya perancangan Amy untuk berduet bersama penyanyi kerohanian terkenal antarabangsa, Maher Zain.

Khabarnya, kedua-dua penyanyi hebat ini pada dasarnya sudah pun bersetuju untuk merakamkan lagu bersama-sama, cuma pada ketika ini masing-masing masih mencari material yang terbaik untuk tujuan itu. Jika semuanya berjalan dengan baik, rakaman lagu itu berkemungkinan besar dilakukan pada awal tahun depan.

Jika perancangan itu menjadi realiti, ia muncul projek rakaman bersama lagu kerohanian kedua membabitkan Amy. Kalau tak silap Cik Normah, pada 2008, dia pernah merakamkan lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur bersama kumpulan nasyid Rabbani.

Amy sendiri semakin dekat dengan irama ketuhanan sejak ‘berhijrah’ beberapa tahun lalu. Jadi, tentunya perancangan untuk berduet bersama Maher sesuatu yang amat kena dengan dirinya pada ketika ini. Ia juga pasti muncul projek yang ditunggu-tunggu ramai peminat, dek bakat besar milik kedua-dua penyanyi ini.

Selain projek duet, Amy juga khabarnya sibuk menyusun pelbagai lagi rancangan khas sempena 30 tahun kewujudan kumpulan Search di persada seni. Tahun depan pastinya menjadi satu lagi tahun yang cukup sibuk buat penyanyi ini, setelah begitu banyak projek membabitkan dirinya pada 2010 ini termasuk konsert menggabungkan Search dan Wings di beberapa lokasi.

Cik Normah hanya mampu mendoakan semoga segala usaha dan niat murni Amy akan terlaksana dengan sempurna. Cik Normah tumpang berbangga apabila penyanyi seperti Amy terus ligat walaupun sudah berdekad menghambakan diri pada dunia seni tanah air.

sumber:
studiokini.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...