FOLLOWERS NASYID2U

Thursday, November 21, 2013

Album Aremean berjudul Langkah Bermula

Menerbitkan album antara cita-cita yang ada buat mereka yang terlibat dalam dunia seni hiburan. Bagi kumpulan nasyid Aremean, langkah awal dalam memperkenalkan diri dalam dunia seni hiburan Islam bermula sejak zaman bangku sekolah lagi.

Ditubuhkan pada 2004, kumpulan ini memulakan langkah mereka dengan menyertai pertandingan nasyid peringkat sekolah, daerah dan juga negeri. Kemudian, mereka meneruskan langkah mereka dengan melakukan persembahan-persembahan di majlis-majlis rasmi serta kenduri kahwin dan lain-lain lagi.

Selepas yakin dengan kemampuan yang ada, Aremean membuat keputusan untuk merakamkan single pertama mereka, Duhai Isteri. Single ini merupakan salah sebuah lagu yang terkandung dalam album Himpunan Bakat Nasyid Edisi Pertama, sebuah projek album di bawah syarikat rakaman Jaringan Masry Enterprise (JME). Penerbitan single ini pada tahun 2012 membolehkan nama Aremean diperkenalkan dengan lebih jauh dalam dunia hiburan dakwah ini.

Langkah Aremean tidak terhenti disitu sahaja. Kumpulan nasyid yang terdiri daripada 3 orang anggota ini iaitu Hizami, Taufiq dan Hazim meneruskan perjuangan mereka untuk menerbitkan album sulung.

Sesuai dengan judul album sulung, Langkah Bermula, Aremean menjadikan album ini sebagai satu permulaan baru dalam usaha mereka aktif berdakwah melalui hiburan nasyid. Berpegang pada moto 'memupuk rasa cintakan Tuhan', kumpulan ini menganggap platform nasyid merupakan platform terbaik dalam menyampaikan mesej-mesej ketuhanan dan positif yang mampu membina sahsiah diri serta mendekatkan diri kepada Allah.

ALBUM LANGKAH BERMULA

Album Langkah Bermula diterbitkan dan diedarkan sendiri oleh mereka serta komposer Din (As-Salam) melalui Aremean Records serta mendapat kerjasama daripada Ilham Cipta Productions, syarikat milik Din (As-Salam), seorang penerbit dan komposer yang terkenal di utara Semenanjung Malaysia.

Album ini mengandungi 5 buah lagu yang dirakamkan di ICP Studio milik Din As-Salam. Konsep album ini ialah nasyid kontemporari.

1. Ku Pohon Keampunan : Lagu ini ditulis oleh Rizal dan lagu dicipta oleh Din As-Salam. Lagu ini lebih berkisarkan kepada keinsafan seorang hamba dalam mencari cinta Allah. Rentak lagu sedikit slow dan sesuai didengar tatkala seseorang itu berasa kosong dan sunyi.

2. Duhai Isteri : Lirik dan lagu ini dicipta sepenuhnya oleh Qifual. Lagu ini ibarat satu penghargaan buat seorang isteri. Rentak lagu ini slow dan sesuai dihayati oleh seorang isteri sebagai satu apresiasi dari kaum Adam buat mereka. Mungkin boleh jadi sebuah lagu yang romantik.

3. Dunia Kini: Juga dicipta sepenuhnya oleh Qifual. Lagu lebih berkisarkan kepada gejala buang bayi yang menyebabkan si anak tak berdosa menanggung derita. Lagu ini turut menceritakan gejala zina yang berleluasa di Malaysia pada hari ini. Rentak lagu masil mengekalkan slow ala-ala balada.

4. Rasul Ibarat Bulan Purnama: Sebuah lagu lama yang pernah dinyanyikan oleh The Zikr dan NadaMurni. Rentak ala tradisional dan Arab ini adalah satu kelainan berbanding 3 buah lagu terawal yang terdapat dalam album ini. Lagu ini ibarat mengimbau kembali kepada kegemilangan nasyid zaman gerakan al-Arqam.

5. Maal Hijrah : Lagu ini juga satu lagu lama. Rentak lagu ini ibarat rancak dan balada. Mengisahkan tentang peristiwa Maal Hijrah. Boleh dikatakan lagu ini adalah satu rentak nasyid kontemporari.

Secara keseluruhan, album ini satu permulaan yang baik buat Aremean. Cuma kumpulan ini boleh pelbagaikan lagu rentak lagu dengan menggunakan alat muzik yang lebih pelbagai. Kekuatan vokal sudah baik dan boleh dimantapkan lagi. 

Kepada peminat nasyid, dapatkan album ini dipasaran sekarang dengan harga RM19.90. Hubungi Aremean Records bagi urusan pembelian.

sumber- STUDIOKINI

Sumber Gambar di FB : Aremean Group

AFB makin mengganas!!!

Al Farabi Band bukan pertama kali nama yang muncul dalam arena muzik tanah air. Kumpulan yang ditubuhkan pada Mac 2009 ini merupakan manifestasi daripada kajian yang dijalankan oleh salah seorang anggota kumpulan ini, Rina Ghazali.

Menurut Rina, kajian yang dijalankan terhadap ilmuan Islam, Ibnu Al-Farabi membuktikan bahawa kebangkitan tamadun Islam dahulu turut dipengaruhi oleh bidang muzik, fizik dan falsafah.

Menyentuh pula mengenai pendekatan jamming yang sering digunakan oleh Al Farabi Band, kajian yang dilakukan menunjukkan bahawa jamming mempunyai maksud tersendiri.Menurut Rina, jamming berasal dari perkataan jamie dan jamaah yang bermaksud kesatuan. Penemuan ini menjadi batu asas terhadap penubuhan Al Farabi Band.

Mula muncul dengan EP pertama mereka, First, pada Oktober 2009, Al Farabi Band menarik nafas lega apabila konsep metal ketuhanan sebenar mereka diterima bukan sahaja oleh peminat genre nasyid dan muzik dakwah, malah turut diterima oleh peminat-peminat metal tegar.

Penerimaan tersebut memberi suntikan semangat buat mereka untuk muncul dengan album EP kedua mereka, The Album, pada Oktober 2010. Dan sambutannya, cukup memberangsangkan walaupun dipasarkan secara terus oleh mereka. Album 'The Album' ini meluaskan lagi pengaruh Al Farabi Band kepada ahli korporat, persatuan silat, anggota tentera dan lapisan masyarakat bukan Islam. 

Pada 31 Mac 2012, Al Farabi Band membuat kemunculan album perdana apabila album pertama mereka, Radiasi 1400. Album ini walaupun berkualiti namun bagi ketua kumpulan ini, Nazri Alias, beliau menganggap album tersebut masih ditahap eksperimental dalam mencari identiti muzik Al Farabi Band yang sebenar.

SEMANGAT BARU AL FARABI BAND

Penerimaan berterusan peminat muzik terhadap Al Farabi Band memberi semangat berterusan kepada mereka untuk menampilkan kelainan muzik yang ditonjolkan.

Sebaik sahaja album Radiasi 1400 diterbitkan, rombakan secara besar-besaran dibuat. Syarikat rakaman Al Farabi Music Studio (AFB Records) didaftarkan, dan pembinaan studio rakaman yang lebih sistematik dibuat melibatkan kos hampir RM430,000. Bagi memantapkan lagi perjuangan mereka, Al Farabi Band melantik Shanazron Amat, seorang yang berpengalaman dalam muzik dan mendapat pendidikan Audio of Engineering di England, dilantik sebagai Al Farabi Band Senior Sound Engineer.

Peralatan di studio Al Farabi turut dikemaskini. Malah mereka turut mengimport peralatan muzik dari luar negara demi melahirkan satu perjuangan muzik yang berkualiti tinggi.

Setelah proses pembinaan semula Al Farabi Band dilakukan, mereka membuat keputusan untuk tampil dengan album terbaru mereka, World New Ethnic. Album ini berkonsepkan 'progressive metal' tetapi masih mengekalkan mesej ketuhanan dan perjuangan.

Lahirnya album ini melengkapkan lagi perjuangan Al Farabi Band dalam arena muzik. Berbekalkan tiga prinsip dalam album ini iaitu memaksimumkan muzik yang bertenaga, memaksimumkan mesej dan berimejkan Modern Classic, album ini tampil dalam keadaan industri muzik dakwah seolah mendatar dengan konsep nasyid kontemporari semata-mata.

kulit album World New Ethnic
World New Ethnic menampilkan 10 buah lagu perjuangan dengan muzik yang cukup 'keras' dan segar. Lagu-lagu yang terdapat dalam album ini ialah Drums of Dawn, World New Ethnic, Akta 3 Kurungan 13, Ayahku Pejuang, Amanat Perwira, The Messenger of Truth, Kalah Tak Semesti Salah, Etnik Baru Dunia, Symphony of Evolution dan Called of Toreeq.

Sempena dengan terbitnya album ini, Al Farabi Band turut membuat program jelajah tanah air bermula Disember 2013 ini. Jelajah tersebut akan berakhir pada Mac 2014.

Jadual New Ethnic Tour (klik untuk paparan jelas)
Kepada semua peminat metal, nasyid dan hiburan Islam,jom kita layan lagu-lagu terbaru mereka. Dapatkan di pasaran sekarang di laman Facebook rasmi mereka.Pastikan yang asli!

sumber- STUDIOKINI

Album Sharifah Khasif Bukan Edaran Arteffects Lagi

Ramai peminat khususnya industri hiburan Islam tahu tentang kelahiran album sulung Qariah terkenal, Sharifah Khasif Fadzilah binti Badiuzzaman Al Yahya, iaitu album Al Husna.

Album Al Husna
Album yang berkonsepkan Qasidah Burdah merupakan album terbitan syarikat Sharifah Khasif sendiri iaitu Sharifahkhasif Production Sdn Bhd. Manakala dari segi edaran pada peringkat awal, ia diedarkan oleh Arteffects International dan Warner Music (M) Sdn Bhd.

Walaubagaimanapun, dalam satu kenyataan yang dibuat oleh Arteffects Sdn Bhd pada 12 November 2013, syarikat tersebut menyatakan bahawa urusan edaran album Al Husna bukan lagi di bawah syarikat tersebut dan Warner Music (M) Sdn Bhd.

Urusan edaran akan diambil alih sepenuhnya oleh syarikat Sharifahkhasif Productions Sdn Bhd berkuat kuasa serta merta termasuk edaran dalam bentuk digital di iTunes, Amazon dan lain-lain lagi.
Kenyataan Arteffects - sumber: FB Arteffects
Justeru, edaran album fizikal yang masih ada di kedai-kedai merupakan stok sedia ada manakala edaran selepas ini di bawah urusan syarikat Sharifah Khasif sendiri.

Dalam kenyataan tersebut juga, Arteffects mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peminat yang sudah memiliki album tersebut dan mengucapkan selamat maju jaya kepada Sharifah Khasif serta albumnya.

Kepada peminat yang masih belum mendapatkan album ini, dapatkan segera di pasaran sekarang. Pastikan yang original.

sumber- STUDIOKINI

Album Baru Fiti Haris ketengahkan konsep Qasidah Akustika

Qasidah, genre yang kini mendapat sambutan hangat dalam kalangan masyarakat Islam. Walaupun ianya bukanlah sesuatu genre yang baru namun kehadiran fenomena ‘habib’ yang melanda umat Islam sejak kebelakangan ini menyebabkan qasidah turut mendapat tempat di hati masyarakat. Penerimaan ini berlaku dek kerana sifat irama qasidah sendiri yang mengandungi bait-bait lirik yang bersifat ‘Cinta Rasul’ dan dialunkan dengan nada memuji kebesaran Rasulullah S.A.W dan sahabat Baginda.

Perkembangan ini turut memberi tempias kepada dunia hiburan dakwah di Malaysia. Lambakan produk-produk qasidah sama ada dalam bentuk video mahupun audio membuktikan bahawa masyarakat mula menerima genre ini. Wholesale Mart Business Point, sebuah syarikat jualan langsung Islam, tidak melepaskan peluang fenomena yang melanda dunia kini, dengan menerbitkan produk terbaru audio mereka dalam bentuk audio qasidah.
Album Qasidah Akustika (Ya Habibi) 
Album ini merupakan album terbaru buat Fitri Haris, bekas anggota kumpulan nasyid UNIC. Menggunakan judul Qasidah Akustika (Ya Habibi), sudah pasti konsep albumnya pun berbentuk akustika. Qasidah Akustika ini memuatkan 7 buah alunan lagu berbentuk qasidah serta 6 buah alunan qasidah karaoke. Tujuh tracklist lagu tersebut ialah Ya Hanana, Ya Badratim, Solatun, Ya Imama Rusli, Law Kana Bainana, Wahai Purnama dan Andainya Dikau Bersama Kami.

Qasidah Akustika (Ya Habibi) telah dirakamkan di studio Nasyeed.Com milik Nasyeed Edutainment Sdn Bhd. Album ini menggunakan khidmat Fitri Haris sendiri sebagai penerbit album, di samping Razin (Mestica). Tidak pasti album ini merupakan album ke berapa buat Fitri Haris sejak bergerak sebagai artis solo. 

Sebelum ini, Fitri pernah tampil dengan album Selawat, Zikir dan Selawat: Keprihatinan Dalam Kesyukuran, serta album Zikir Terapi Munajat (terbitan Arteffects milik Hafiz Hamidun). Album Selawat serta Zikir & Selawat: Keprihatinan Dalam Kesyukuran merupakan album terbitan Wholesale Mart.

Kehadiran album ini pada mulanya tidak disedari oleh ramai pihak. Malah, edaran album ini juga bukanlah melalui pasaran kedai-kedai muzik mahupun secara online. Album ini menggunakan konsep pasaran secara jualan langsung oleh pengedar-pengedar yang dilantik oleh syarikat Wholesale Mart sendiri. Malah Studiokini sendiri tidak sedar mengenai kewujudan album ini sehinggalah terserempak dengan wakil pengedar Wholesale Mart.

Penerbitan album ini dengan konsep akustika merupakan satu usaha yang baik dan boleh dianggap satu kelainan dalam muzik dakwah. Namun penggunaan bait-bait qasidah yang sudah sinonim dengan halwa telinga masyarakat menjadikan album ini ‘kurang’ meriah. Maksud ‘kurang’ meriah bukanlah ditujukan kepada bait-bait lirik qasidah tetapi sudah terlalu banyak produk-produk audio berbentuk qasidah yang menggunakan lirik qasidah yang sama. Lebih molek kalau penerbit album menggunakan bait-bait lirik qasidah yang baru dalam menyampaikan mesej, asalkan ianya tidak lari dari konsep qasidah itu sendiri iaitu menganggungkan dan memuji Rasulullah S.A.W.

Dari aspek vokal, kekuatan vokal Fitri Haris membuktikan dirinya mampu membawa genre qasidah dengan baik. Vokal Fitri Haris makin baik dan boleh ditingkatkan lagi ke tahap yang lebih maksima. Secara keseluruhan, album ini merupakan sebuah produk yang berkualiti walaupun dijual melalui jualan langsung. Album ini diterbitkan oleh anak syarikat Wholesale Mart, WMBP Entertainment dengan harga RM12 (jualan langsung) dan RM25 jika dijual melalui orang tengah.

sumber - STUDIOKINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...