2 JULAI 2012 - Kali terakhir kumpulan Hijjaz muncul dengan album studio adalah pada tahun 2010 iaitu album Permata Hijjaz. Selepas dua tahun menyepi, kini Hijjaz tampil dengan album ke-15 mereka yang berjudul Susah Senang Kita Bersama.
Uniknya, album ini merupakan kerjasama antara Hijjaz Records Sdn Bhd (HRSB) dengan syarikat HPA Industries Sdn Bhd. Sebelum ini, HPA turut menjalinkan kerjasama dengan kumpulan Raihan menerusi album Musafir Perjuangan dan UNIC dengan album Hijrah.
Album ini telah pun dilancarkan pada 01 Julai 2012 bertempat di Menara HPA International Centre di Shah Alam oleh Pengarah Urusan HPA, iaitu Tuan Haji Ismail bin Ahmad sempena Karnival 1000 Anak Radix yang diadakan baru-baru ini.
10 buah lagu yang dimuatkan di dalam album ini merupakan antara seleksi lagu baru dan lama yang diberi nafas baru. Antaranya Berkorban Demi Cinta, Serambi Madinah, Susah Senang Kita Bersama, Ayuh Pejuangku, As-Syafi, Sudah Sunnah Orang Berjuang II, Sumayyah, Lawkana Bainana serta lagu Satu Pilihan Kurnia yang merupakan lagu tema untuk salah satu produk keluaran HPA iaitu Radix Fried Chicken (RFC) . Hijjaz juga turut berduet dengan seorang artis veteran, Othman Hamzah menerusi lagu Renungkanlah.
Buat semua peminat Hijjaz, pastikan anda memiliki buah tangan terbaru ini. Album ini telah pun berada di pasaran dan dijual pada harga RM25.90 . – NK
sumber: nasyidkini