FOLLOWERS NASYID2U

Monday, September 26, 2011

Inteam Sedia Bantu Industri Nasyid Thailand


Inteam dan Fiklis

Kumpulan nasyid popular; Inteam meneruskan perjalanan seni dakwah mereka dengan menjalinkan kerjasama erat bersama kumpulan nasyid dari Thailand, Fiklis. Inteam telah memilih untuk berduet dengan kumpulan nasyid Fiklis dalam sebuah lagu yang berjudul Nur Muhammad.

Lagu Nur Muhammad yang pernah dimuatkan dalam album Nur Muhammad adalah nyanyian asal kumpulan Inteam featuring UNIC. Menariknya, untuk lagu Nur Muhammad versi Inteam dan Fiklis ini, terdapat beberapa rangkap lagu yang dinasyidkan dalam Bahasa Thailand.

Menurut Muhammad Hazamin Harun atau lebih mesra disapa Amin Inteam, Ini merupakan kali pertama Inteam Records (IRSB) menerbitkan MTV sendiri yang dirakam oleh seorang staff IRSB menggunakan peralatan kamera digital DSLR dalam waktu yang terhad.

“Rakaman MTV Nur Muhammad versi Thailand ini dirakam sewaktu lawatan kumpulan nasyid Fiklis dari Thailand ke Studio Inteam pada awal Ramadhan lalu. Kami memilih untuk menjalani rakaman vokal dan juga rakaman video dalam masa yang begitu terhad dengan menggunakan khidmat videografi salah seorang staff IRSB.” jelas Amin Inteam.

Menurut beliau lagi, kerjasama ini tidak akan terhenti disini sahaja kerana Inteam berhasrat untuk menjalinkan lebih banyak kerjasama dengan kumpulan-kumpulan nasyid di Thailand.

“Alhamdulillah, nasyid sudah mula mendapat tempat di kalangan para penduduk Muslim di wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat, Thailand. Kami selaku kumpulan nasyid di Malaysia berasa terpanggil untuk membantu kumpulan-kumpulan nasyid di Thailand untuk mengembangkan sayap mereka dalam membina industri nasyid di Thailand.” tambah Amin Inteam.

“Kami berharap, usaha kecil kami ini dapat membantu kumpulan nasyid di Thailand membina dan membangunkan industri nasyid mereka supaya dakwah melalui seni nasyid ini dapat berkembang di negeri Thailand. Kita sudah lihat perkembangan industri nasyid Malaysia dan Indonesia yang begitu rancak sekali, justeru inilah masanya untuk kita sama-sama membantu industri nasyid di Thailand agar nusantara ini bergema dengan lagu-lagu yang memuji Allah Yang Esa.” jelas Amin Inteam.

Untuk menonton MTV Nur Muhammad Versi Thailand nyanyian Inteam feat Fiklis, sila klik disini.

Untuk rekod, Fiklis terdiri daripada 4 orang anak muda yang berasal dari Thailand. -Munsyeed{Dot}Com

Gambar ihsan: Safwan Abdullah.

sumber: munsyeed.com

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...