Nama VAST mungkin masih lagi asing ditelinga para penyokong industri nasyid tanahair. Untuk pengetahuan semua peminat nasyid, kumpulan VAST telah pun ditubuhkan pada pertengahan tahun 2011. Nama VAST bermaksud “luas” membawa konsep yang berdasarkan satu arus muzik baru dengan penampilan yang lebih ‘luas’ dan satu revolusi muzik yang baru yang tidak tertumpu hanya kepada satu genre sahaja. Kumpulan ini dianggotai oleh empat orang anak muda yang terdiri daripada saudara Aslam, Aufa, Fendy, dan Ikhwan. Saudara Aslam juga pernah memasuki Akademi Al-Quran musim yang ke-4.
Penubuhan kumpulan ini sebenarnya di atas idea saudara Megat Nur Shidiq. Beliau merupakan komposer dan merangkap sebagai pengurus VAST. Beliau cuba untuk mewujudkan sebuah kumpulan di bawah naungan beliau dan semua lagu-lagu adalah hasil ciptaan beliau sendiri. VAST mula diperkenalkan pada 23 september 2012 dengan mengeluarkan single pertama yang bertajuk “Taubatku” adalah hasil ciptaan sepenuhnya oleh Megat Nur Shidiq. Lagu tersebut sudah mula dimainkan di corong-corong radio online seperti NasyidFM dan MBMFM.
VAST masih lagi dalam pembikinan album pertama dan bakal menembusi pasaran tidak lama lagi. Antara lagu-lagu yang akan dimuatkan didalam album berjudul Taubatku, CintaNya, Selawat, Zikir Cinta dan lain-lain lagi. Konsep yang bakal dibawa oleh VAST adalah muzik pop kontemporari / R&B serta membawa lagu-lagu yang berkonsepkan unsur nasihat dan dakwah. Mari kita hayati lagu Taubatku yang merupakan single pertama dari VAST.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kumpulan ini sila layari Facebook mereka, VAST atau Vast Nasyeedtv. Semoga dengan kehadiran VAST akan memeriahkan lagi industri nasyid tanahair. -NK
*Sumber: FB VAST, blog Insyadmedia,nasyidkini
No comments:
Post a Comment