FOLLOWERS NASYID2U

Saturday, January 8, 2011

Rockers Dakwah [bahagian 4]Artikel Studiokini

Mel (ex-Wings)

Siapa tidak kenal kumpulan Wings? Hampir 99% rakyat Malaysia kenal kumpulan rock ini. Walaupun sudah bertapak lama di arena muzik Malaysia,namun Wings tetap popular. Bagi peminat setia Wings,sudah pasti akan kenal para vokalis yang pernah menganggotai kumpulan ini.

Selain Awie,Wings pernah disertai oleh Mel dan Mus sebagai vokalis sebelum Awie kembali bersama Wings. Mel pernah mengangkat Wings melalui album Orang Asing. Menurut laman portal KL Pos pada tahun 2007, Mel menyatakan:

"Kerana saya anggap hiburan dan agama itu mesti dijadikan cara hidup.

Kita juga mesti ada strategi untuk mengembangkan ibadah, asalkan tidak menyakitkan hati orang. Bukankah Islam itu mesti ditunjukkan membangun, berkembang maju dan bertaraf dunia?

ketika bersama Wings
"Saya tidak nyanyi nasyid. Saya tetap dengan cara saya menyanyi rock. Cuma jika dulu saya tinggikan suara, tapi kali ini saya rendahkan suara. Ada sebabnya mengapa saya ubah cara nyanyian saya begitu kerana jika saya tinggikan suara tapi orang tidak faham, tentu, maksudnya tidak sampai, tidak ada gunanya.

Kata-kata ini jelas membuktikan rock tetap mampu menyampaikan dakwah jika caranya betul. Teringat lagu-lagu yang terkandung dalam album Dunia Baru-Mel. Nyata,mesejnya semua mengandungi unsur dakwah walaupun tidak nasyid.

Radzi (ex-Melissa)

Oh Nabila...Lambang cintaku kepadamu
Hingga kini oh Nabila.... takkan lupa
Mengingatimu
Oh Nabila...Lambang cinta yang telah layu
Hingga kini oh Nabila
Peminat rock era 90-an pasti kenal akan lirik lagu ini. Lagu berjudul Cinta Untuk Nabila ini dinyanyikan oleh kumpulan Melissa.Kini, vokalis utama Melissa,Radzi muncul dengan imej yang baru. Berbeza dengan imej semasa era kegemilangan Melissa, Radzi kini berimejkan seperti pendakwah.
Menceritakan tentang sejarah seninya, berikut adalah sedutan dari akhbar Utusan

"Selepas tamat mengaji di sekolah pondok, saya datang ke KL dan duduk di Kampung Pandan dengan tujuan mencari duit untuk mendapatkan modal perniagaan.

"Masa itu cita-cita saya hanya satu, nak jadi tauke ayam. Mulanya saya kerja kilang, kemudian saya bekerja sebagai konduktor bas mini.

"Semasa tinggal di Kampung Pandan, saya bercampur gaul dengan pendatang asing. Semangat kejiranan kami memang bagus kerana ketika itu kami sering menghadiri majlis berzanji dan marhaban.

"Pada waktu malam, saya dan penduduk Kampung Pandan bergilir-gilir bertugas di Rukun Tetangga demi keamanan penduduk setempat.

"Sementara menanti giliran, selalunya dengan menggunakan gitar tong saya akan menyanyi menghiburkan kawan-kawan yang sama bertugas dengan lagu Andainya Aku Pergi Dulu nyanyian Alleycats.

"Bermula dari situlah, apabila kawan-kawan Rukun Tetangga tahu saya boleh menyanyi, saya sering diundang menyanyi untuk majlis-majlis orang kahwin," cerita Radzi mengenai penglibatannya dalam bidang seni.

Sejak itu, Radzi meneruskan kerjayanya sebagai penyanyi kelab malam di mana Wetspeed merupakan kumpulan pertama yang disertainya.

Setahun bersama Wetspeed, pada tahun 1988 Radzi menganggotai Steeler dan mencuba nasib menyertai pertandingan kumpulan rock yang dianjurkan oleh Box-Office kepunyaan Ali Bakar pada tahun berkenaan.

"Nasib menyebelahi saya. Percubaan saya bersama Steeler dalam pertandingan itu membuka lembaran baru dalam hidup saya.

"Dalam pertandingan itu, saya menyanyikan lagu Senja Merah yang merupakan lagu Steeler. Akhirnya lagu itu membawa tuah kepada kumpulan kami apabila kami memenangi tempat ketiga," kata Radzi menyingkap sejarahnya bersama kumpulan rock.

Melakar kejayaan pertama kali dalam satu pertandingan yang dianggap hebat oleh kumpulan-kumpulan rock yang baru mencuba nasib dalam bidang seni, telah membawa Radzi ke dunia rakaman album sebagai artis.

Razak, pemain gitar bass yang juga merupakan ketua Steeler, akhirnya menukar nama kumpulan itu kepada Melissa dan mengajak Radzi menjadi penyanyi mereka, setelah penyanyi asalnya, Hairi meninggalkan kumpulan itu.

Selain Razak, Melissa turut dianggotai oleh Kefli (gitar utama), Ozei (drum) dan Radzi pula sebagai penyanyi baru mereka.

"Sejak itulah bermulanya diari hidup saya sebagai penyanyi rock. Saya tidak pernah menduga album pertama kumpulan Melissa telah meletakkan nama kami di bibir para peminat rock tanah air.

"Malah yang lebih membanggakan, dengan lagu Cinta Untuk Nabila ia telah mempopularkan nama saya dan kumpulan Melissa," kata Radzi.

Menurut Radzi, daripada kejayaan album pertama itu telah membuatkan dia lupa seketika tujuan asalnya datang ke KL untuk mencari modal bagi memulakan perniagaan menjual ayam.

"Bayangkan ketika itu, tahun 1990, kejayaan album pertama itu telah memberikan saya pendapatan yang lumayan.

"Syarikat rakaman Varia Music Production memberi saya royalti secara pukal sebanyak RM16,000 untuk album pertama. Itulah royalti yang pertama dan terakhir yang saya dapat," cerita Radzi dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selepas kejayaan album pertama, Melissa muncul sekali lagi dengan album kedua mereka berjudul Kami Mat Rock dengan lagu hitsnya, Memikat Cahaya pada tahun 1991.

"Walaupun lagu ini sekali lagi melonjakkan nama kumpulan kami, tetapi saya tidak pernah mendapat royalti lagi.

"Saya tidak tahu di mana silapnya, tetapi mungkin kerana album ketiga Melissa berjudul Mistik (1993) saya tidak muncul selepas beberapa kali rakaman album itu dibatalkan.

"Pembatalan rakaman itu membuatkan saya balik kampung dan terus berkahwin. Sejak itulah, tamatnya perjuangan saya dalam bidang seni sebagai penyanyi rock," kata Radzi.

Radzi atas pentas dakwah
Selepas berhijrah ke arena dakwah,beliau masih aktif dalam bidang nyanyian. Album dakwah pertamanya ialah Penyesalan.


Beliau juga aktif dalam pelbagai persembahan alternatif dan tetap dengan imej rock dakwahnya.

sumber:
studiokini

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...