FOLLOWERS NASYID2U

Sunday, January 16, 2011

Maher Zain Dan Imej Nasyid:Artikel munsyeed.com

Oleh: Herman.Mutiara (Singapura)

Gambar: Ihsan Maher Zain Malaysia Fan Club (MM-FC)

Apabila disebut penyanyi nasyid (munsyid), yang sering tergambar dalam fikiran kita ialah penyanyi berkopiah, berpakaian kemas berkemeja lengan panjang. Lagu-lagunya pula seringkali berentak qasidah atau balada.

Satu acuan yang ‘stereotype’ / klise, bukan?

Saya rasa sudah tiba masanya para munsyid merubah ‘stereotype’ nasyid ini agar muzik nasyid kembali segar dan dapat menambat hati penggemar muzik rentak terkini. Namun, apakah pembaharuan yang ingin diterokai ini bakal mendapat ‘restu’ dari peminat tegar muzik nasyid itu sendiri? Sebagai contoh, bolehkah seorang munsyid yang menukar penampilan, menjadi seperti rocker dan menyanyikan lagu-lagu kerohanian berentak rock (seperti Ramli Sarip) diterima masyarakat?

i.

Kali pertama saya mendengar lagu dan melihat imej Maher Zain, saya langsung tidak mengaitkannya dengan imej ‘nasyid’. Sebaliknya, apa yang saya lihat ialah seorang penyanyi R&B Barat yang menyanyikan lagu-lagu yang disuntik padu dengan ruh Islam. Mungkin disebabkan kelainan inilah maka masyarakat yang tidak menggemari imej ‘stereotype’ nasyid dengan mudah dapat menerima Maher Zain dan penampilannya.

Oleh itu, saya tabik apa yang dilakukan oleh penyanyi seperti Ramli Sarip, Yasin, Mel dan yang seangkatan dengan mereka yang sengaja tidak mengikut ‘acuan’ nasyid walaupun mereka membawakan lagu-lagu kerohanian dengan cara mereka sendiri.

Di Barat, terdapat penyanyi Muslim seperti Yusuf Islam dan Dawud Wharnsby (folk-rock), Kareem Salama (country/western), Outlandish (hip-hop) dan ramai lagi. Apakah muzik mereka boleh ditakrifkan sebagai nasyid?

Di S’pura, kami ada Ustaz Sofyan Yadi yang membawakan lagu-lagu selawat dengan rentak hip-hop dan rock. Kami ada kumpulan Sirrfillsirr (Tzi ‘Banjir’, Mohd Khair Mohd Yasin ‘Rausyanfikir’ & sasterawan Isa Kamari) dengan lagu-lagu puisi sufi mereka. Saya sendiri juga sedang dalam proses menyiapkan album sulung saya (secara D-I-Y) yang berisi lagu-lagu puisi kerohanian yang dibawakan dengan rentak rock. Nak kata kami penyanyi nasyid, jauh sekali. (Penyanyi nasyid tidak pikul gitar ke sana ke mari.) Tapi tujuan kami tetap sama, insya-Allah.

ii.

Walaupun berbeza cara dan penampilan, kita patut sokong tujuan murni satu sama lain. Apa saja usaha dan cara untuk mengajak manusia kepada Allah & Rasul-Nya, selagi caranya tidak bertentangan dengan adab atau melanggar syariat Islam, patut disokong. Kerana Islam adalah cara hidup yang sesuai untuk semua, untuk setiap suasana dan keadaan. Hingga ke akhir zaman.

herman.mutiara

13.01.2011

*Artikel ini adalah hakmilik penulis. Idea dan pendapat di dalam artikel ini adalah idea dan pendapat peribadi penulis dan ia tidak semestinya ia mencerminkan idea dan pendapat pihak Munsyeed.com. Selamat membaca. =)

sumber:

munsyeed.com

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...