FOLLOWERS NASYID2U

Tuesday, January 4, 2011

Imbasan 2010 – Album

Banyak yang mahu diperkatakan tentang album-album nasyid yang teelah dikeluarkan pada tahun 2010. Masing-masing sibuk dan berhempas pulas untuk mengeluarkan masterpiece masing-masing, buat peminat yang sentiasa ternanti karya terbaru mereka.

Berdasarkan pemerhatian, lebih ramai artis nasyid cuba sedaya upaya mengevolusikan karya mereka. Ada yang secara drastik mengubah haluan genre, dan ada pula yang bekerjasama dengan pihak yang lain untuk menambah baik hasil karya mereka.

Untuk itu, mari kita lihat sepintas lalu karya-karya terbaik yang dihasilkan oleh penasyid kita sepanjang 2010.

1. HIJJAZ – PERMATA HIJJAZ

- Album yang dianggap sebagai masterpiece di sepanjang karier kumpulan nasyid yang dianggotai oleh Munif Ahmad, Isman Nadim, Faizal Osman dan Ariffin Rahim. Penggunaan muzik live terutama orchestra dan lain-lain mengangkat tinggi kualiti album ini ketahap terbaik. Kos tinggi yang dikeluarkan untuk membikin album ini tampak berbaloi. Boleh dikatakan album ini sebagai album terbaik sepanjang tahun.

2. INTEAM DAN UNIC (UNIQUE) – NUR MUHAMMAD

- Percubaan kolaborasi daripada dua kumpulan yang pernah berada di bawah bumbung syarikat rakaman yang sama. Album ini dikategorikan sebagai easy listening, namun lagu-lagu di dalamnya sangat catchy dan mudah melekat. Alunan selawat yang cukup mengasyikkan.

3. RABBANI – MAHABBAH

- Enggan berundur selepas dikejutkan dengan pemergian Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim, dengan sepantas kilat mereka cuba bangkit, lantas menepis presepsi yang mengatakan mereka seakan tempang. Vokal Zulkifli juga unik, lantas menjadi transisi baru buat kumpulan yang rata-ratanya datang daripada Nadamurni.

4. FAR EAST – SAAT LAFAZ SAKINAH

- Masih mengekalkan konsep taranum seperti Halawatul Iman yang keluar sebelum ini. Namun kumpulan ini tetap mahu berevolusi juga. Malah, ada juga terselit unsur rap dan beberapa eksperimentasi ringan, tetapi menjadi.

5. SAUJANA – NOTA CINTA

- Walau telah beberapa kali membuat pertukaran line-up, namun mereka terus mara. Album ini menyaksikan konsep pop nasyid, manakala lagu-lagunya ada yang catchy dan bersifat easy listening. Hanya Sufian Amrin dan Azalinor sahaja yang masih kekal dalam kumpulan ini.

6. AL FARABI BAND – THE ALBUM

- Membawa lagu-lagu nasyid berlatarbelakangkan muzik rock. Kritikan positif mahupun negative banyak berlegar, namun tidak sedikitpun mematahkan semangat mereka. Tampil dengan imej berserban, lagu-lagunya bertenaga untuk memberi semangat kepada pendengar.

7. R-IF – PERCAYALAH

- Album pertama mereka mendapat sambutan cukup menggalakkan. Album ini diterbitkan oleh beberapa nama besar industri nasyid membuatkan kumpulan ini memulakan langkah dengan penuh yakin. Rata-rata album ini berkonsepkan pop. Percubaan pertama yang menjadi.

8. ITQAN - RINDU

- Album kedua yang dihasilkan oleh warga Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan kali ini lebih segar dengan mendapat sentuhan professional. Malah, kemunculan semula Al-Anwar yang berduet bersama dalam lagu Rindu Akhirat mengembalikan nostalgia. Usaha mereka wajar dipuji kerana aktif walaupun terpaksa bergerak sendirian

9. CASTURY – Seharum Kasturi Wangian Syurgawi

- Dahulunya muncul dengan sebuah single bertajuk Hanya Pasrah Menanti, kini muncul dengan album pertama yang memuatkan 7 lagu. Menariknya, mereka turut mengundang penyanyi terkenal tahun 80-an, Ayati Tasrip yang berduet dengan lagu Santun Berpesan.

10. AMER MUNAWER –SELURUH MAHABBAH

- Biarpun muncul hanya dua lagu, namun single bekas anggota kumpulan Ruffedge ini mendapat perhatian ramai. Masih berbekalkan muzik R&B dan Soul, single Seluruh Mahabbah kini ligat diputarkan di stesen radio tempatan. Turut menampilkan UNIC dalam lagu Maha Suci Allah.

11. AISHAH – ANAK

- Percubaan pertama penyanyi wanita terkenal ini menyanyikan lagu ketuhanan wajar disokong. Album tersebut mendapat sentuhan composer Dakmie. Turut menampilkan beberapa zikir, doa dan selawat

12. RAIHAN – MUSAFIR PERJUANGAN

- Album ini diterbitkan dengan kerjasama HPA dimana mereka turut menjadi duta syarikat tersebut. Antara lagu yang termuat ialah Nun Di Sana, Allah Is Calling dan Musafir Kelana. Dan terbukti, mereka masih kuat pengaruhnya baik di dalam mahupun diluar negara

Itulah sedikit sebanyak album yang telah dikeluarkan pada tahun 2010. Harapan besar menanti, agar lebih banyak album bakal dikeluarkan menjelang 2011 nanti, dengan kualiti yang terbaik. Adalah besar harapan semua pengggiat nasyid, mahu melihat agar industri hiburan Islam ini kembali berkembang.

sumber:

munsyeed.com

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...