FOLLOWERS NASYID2U

Tuesday, February 15, 2011

Amar Kembali Selepas Menyepi

Agak lama juga penyanyi solo, Amar menyepi dari muncul dalam mana-mana akhbar. Beliau yang kini sibuk dengan kerjayanya sebagai peguam, ahli silap mata dan penulis buku seolah tidak mahu aktif dalam bidang nyanyian.

Hilangnya Amar terjawab apabila beliau muncul dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 15 Februari 2011. Amar atau nama sebenarnya Arif Muazzim Abdul Rahman,30, kini lebih dikenali sebagai ahli silap mata. Menurut Utusan,keistimewaa Amar tidak dibantu oleh kuasa jin atau ilmu hitam,sebaliknya semua itu dilakukan melalui ketangkasan tangan dan minda yang dikurniakan Allah.

Menurut Amar, sesiapa sahaja boleh menjadi ahli silap mata asalkan berminat dan rajin membuat latihan bagi kelancaran persembahan.

"Saya suka silap mata sejak kecil lagi kerana saya seorang yang skeptikal. Saya mesti nak tahu macam mana perkara itu berlaku.

"Saya mula belajar dari buku-buku, tengok ayah dan abang buat silap mata. Lepas itu, tukar-tukar idea dengan orang lain. Semua itu saya catat dalam buku 555 agar tidak lupa cara melakukannya," kata Amar membuka cerita penglibatannya dalam bidang silap mata.

Hasil daripada minat mendalamnya pada bidang silap mata, Amar turut menghasilkan empat buah buku berkaitan silap mata iaitu 55 Silap Mata Mudah, 66 Silap Mata Praktikal, 77 Silap Mata Profesional dan Rahsia Silap Mata Antarabangsa.

Amar juga turut menyertai bidang motivasi dan telah menghasilkan buku motivasi seperti Anda Mampu Melakukannya dan Dunia Kartun Motivasi Amar.

Menurut Utusan lagi, pada tahun lalu sahaja, Amar telah melakukan sesi motivasi di 29 buah sekolah di semenanjung dan menyasarkan 35 sekolah pada tahun ini.

"Saya mula menjadi motivator ini sejak 2004. Program motivasi saya untuk sekolah menengah dilakukan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri.

"Tahun ini program itu akan bermula Mac. Mana-mana sekolah yang berminat untuk bekerjasama dengan saya boleh hubungi laman sesawang www. amar.com.my atau talian 013-3561772," katanya yang popular dengan lagu Nurul Iman.

Mengenai bidang nyanyian, Amar menjelaskan bahawa buat masa sekarang, beliau masih lagi mengumpul bahan untuk album terbaru. Mengikut perancangan, album tersebut akan berada di pasaran pada hujung tahun ini.

Sehingga kini,Amar telah menghasilkan 3 buah album iaitu Kiasan Naluri (2003), Diari Rindu (2005) dan Hikayat Cinta (2007) serta sebuah album indie, Impian. - STUDIOKINI

sumber:
studiokini

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...