FOLLOWERS NASYID2U

Tuesday, February 21, 2012

Allahyarham DJ Razak Selamat Dikebumikan


DJ Razak IKIM.FM

DJ Radio IKIM.FM, Abdul Razak Arbain yang meninggal dunia awal pagi tadi telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bahol, Kinrara. Allahyarham yang berusia 46 tahun, telah meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya awal pagi tadi.

Pihak kami dimaklumkan, kemalangan tersebut berlaku apabila motorsikal yang ditunggang oleh allahyarham telah bertembung dengan sebuah lagi motorsikal dari arah bertentangan. Allahyarham pada ketika itu baru sahaja selesai menghantar anak bongsunya ke sekolah.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Rosnani Binti Haji Dali dan 3 orang cahaya mata, 2 perempuan dan seorang lelaki.

Ramai rakan artis, warga IKIM.FM dan personaliti yang hadir menziarahi allahyarham antaranya Rabbani, Duan Saufee, Hafiedz Udu, Suffian Saujana, Azalinor Saujana, Hafiz Hamidun dan staff Arteffects International, penulis lirik terkenal Mohd Radzi Sulaiman (Ito Lara) dan isteri, Razin Mestica, Halim Devotees, Firdaus NasyidFM dan ramai lagi. Tidak ketinggalan, beberapa orang pendengar setia IKIM.FM dan individu-individu yang popular dikalangan peminat nasyid seperti Mamazana dan suami, Ridhuan Husin wakil GAMIS, Kak Ina Sepang dan ramai lagi.

Halim Devotees, Hafiedz Udu, Firdaus NasyidFM, Firdaus EZ Qurban dan Ridhuan Husin GAMIS antara yang hadir

Suffian Saujana, azadan Rabbani, Ito Lara dan pihak IKIM.FM

Untuk rekod, allahyarham merupakan Juruhebah Sambilan di IKIMfm dan telah berkhidmat sejak 3 Julai 2006. Sebelum berkhidmat di IKIMfm, beliau merupakan anggota tentera dan pernah ditempatkan di beberapa kem tentera seperti di Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu DiRaja, Kem Rasah, Kem Wira Waja Janda Baik dan lain-lain. Beliau juga pernah bertugas sebagai juruhebah Radio Kementah (Mindef) di Cawangan Perhubungan Awam(PR).

Arwah Razak cukup disenangi peminat kerana begitu mesra melayan setiap panggilan dan permintaan pendengar. Beliau seorang yang tidak lokek senyum dan amat mesra dengan setiap orang ditemui. Di kalangan rakan sekerja, beliau merupakan rakan yang suka menolong dan membantu orang lain, walaupun ada ketikanya menyusahkan diri beliau sendiri. Setiap kali pertolongan diperlukan dari beliau, jarang beliau membantah atau memberi alasan tidak mampu melaksanakannya melainkan beliau menghulurkan bantuan dengan sepenuhnya.

Gambar terakhir allahyarham bersama rakan sekerja sewaktu program Bonanza Hope 2 Walk.

Arwah juga sentiasa ikut serta turun padang bersama para penyampai IKIMfm yang lain. Terbaharu dan terakhir ialah apabila beliau bersama dalam program Bonanza Amal Hope 2 Walk di Muzium Negara, program anjuran Islamic Aid Malaysia dan IKIMfm dalam mencari dana membantu adik Annur yang mengidap Celebral Palsy.

Munsyeed{Dot}Com merakamkan ucapan takziah buat keluarga allahyarham dan seluruh warga kerja IKIM.FM. Marilah sama-sama kita berdoa semoga roh allahyarham ditempatkan dikalangan hamba-hamba ALLAH SWT yang beriman dan bertaqwa. Al-Fatihah.


sumber -Munsyeed{Dot}Com.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...