FOLLOWERS NASYID2U

Tuesday, April 24, 2012

Travelog Nasyid Bahagian 1.

ENGENALAN AWAL

Inteam (formerly known as In-Team) ditemubual selepas Konsert Satu Nada di Jakarta, Indonesia.

Masih ingat di kala nasyid meletup suatu masa dulu? Pada tahun 2003, 2004? Wah, sang penasyid tidak menang tangan menguruskan perihal urusan seharian mereka. Bermulalah dari rekord lagu di studio, promosi album, jemputan persembahan, memenangi anugerah hinggalah menjadi tetamu di sana sini.

Panggilan telefon sentiasa tidak putus. Jika bukan kerana jemputan persembahan, barangkali peminat yang mahu bersembang mesra dengan penasyid. Malah, ada penasyid yang terpaksa merahsiakn nombor telefonnya daripada diketahui umum. Alasannya satu: privasi. Tidak mahu diganggu setiap masa lantaran kesibukan di arena nasyid.

Peminat-peminat sentiasa berpusu-pusu apabila terdengar kehadiran artis nasyid membuat persembahan. Umpama yang hadir itu insan yang sangat istimewa, malah apabila terjumpa sekumpulan manusia yang memakai kopiah ‘sebuah kumpulan nasyid’ dirasakan cukup teruja, menyangka ‘artis nasyid kah itu?’

Dimensi baru nasyid semakin tersebar luas apabila menguasai media cyber. Antara artis yang terawal mempelopori dunia cyber adalah artis nasyid. Wujudnya laman web artis nasyid meningkatkan lagi pengaruh dan penguasaan artis nasyid di pentas hiburan tempatan.

Apakah yang menjadi penyebab nasyid hari ini menjadi semakin layu dan suram? Dan mengapa pada hujung 90-an dan awal tahun 2000 itu nasyid meletup di sana sini?

Teori mudah akan mengatakan: Setiap yang bermula pasti akan berakhir. Setiap yang di atas pasti akan ke bawah.

Ya, itu lumrah. Bukan sahaja nasyid, malah genre muzik yang lain juga begitu. Dahulu ada musim dangdut. Riuh sana sini perihal dangdut. Tidak kurang semasa zaman kegemilangan rock. Sangat gemilang! Apa yang melanda nasyid kini lebih kurang sahaja dengan rock yang pernah gemilang satu masa dulu dan kemudiannya merudum.

SEJARAH AWAL

Raihan di awal kemunculan mereka.

Kita lihat semula kondisi nasyid. Nasyid dilihat mula bertapak kuat dan memikat pasaran hiburan tempatan dengan terbubarnya Nada Murni dan munculnya album pasaran terbuka nasyid yang dimulakan Raihan. Pada waktu itu, tidak silap saya berada di Tingkatan 2. Pada waktu itu, zaman CD masih belum popular. Kaset mendominasi. Kereta-kereta yang ada pada waktu itu belum banyak yang mempunyai CD Player. Malah di rumah pun yang ada hanya pemain kaset.

Jasa ‘kaset’ ini sebenarnya sangat besar bagi membantu mengembang luaskan pasaran nasyid. Nasyid yang boleh dikatakan sangat digemari di kalangan pelajar sekolah dan IPT berlumba-lumba membeli kaset nasyid Raihan itu untuk di dengar menggunakan walk man di tempat pengajian mereka. Nasyid menjadi fenomena.

Kumpulan Raihan yang muncul dengan album sulung ‘Puji-Pujian’ itu mendapat sentuhan ‘ajaib’ Farihin Abdul Fatah melalui Zamrud Records yang sebelum ini turut menurunkan jasa besar terhadap pembangunan kumpulan-kumpulan nasyid Arqam khususnya Nadamurni.

Tidak cukup dengan Raihan, bekas-bekas ahli arqam ini menubuhkan pelbagai kumpulan nasyid lain seperti Hijjaz dan Rabbani. Saya ada mendengar cerita bahawa asalnya, Ust Asri Ibrahim (NadaMurni/Rabbani) tidak mahu berpecah dan mahu meneruskan delegasi NadaMurni itu ke arah album komersial. Ini kerana nama NadaMurni itu sendiri sudah dikenali di peringkat pasaran tradisional. Apabila diteruskan apa yang sedia ada, ianya lebih memudahkan.

Ova Production. Foto ihsan: Syukbah.blogspot.com

Ova Production. Foto ihsan: Syukbah.blogspot.com

Mungkin tidak mahu ada kaitan lagi dengan Arqam, atau kemungkinan ada campur tangan pihak tertentu, maka Nada Murni pun berpecah. Waharp Yusof antara orang kuat OVA Production dan Nada Murni menubuhkan Telaga Biru dan kemudiannya menerbitkan album sulung Hijjaz bersama vokalis kedua Nadamurni, Munif Ahmad.

Ust Sohibul Fadhil atau B.Nury yang serasi bersama NadaMurni kemudiannya menaik taraf syarikat OVA Produstion menjadi Permata Audio bagi menerbitkan album sulung Rabbani bersama vokalis utama NadaMurni Asri Ibrahim.

Itu antara kisah-kisah awal yang saya tahu berkaitan penubuhan awal kumpulan-kumpulan nasyid yang menjadi ‘turning point’ terhadap sebuah fenomena nasyid yang mereka sendiri tidak jangkakan akan mendapat sambutan yang hangat dan hebat daripada masyarakat.

Hijjaz dan Komuniti Sahabat Hijjaz. Foto ihsan: Muhammad Qayyum.

Sejarah awal penubuhan nasyid secara pasaran terbuka ini dilihat sangat membanggakan. Malah, kehadiran mereka di pasaran hiburan tanahair di sambut dengan penuh penghormatan oleh penggiat seni tanahair sedia ada. Syarikat-syarikat rakaman besar seolah-olah mendapat ‘artis harapan baru’ yang mendatangkan keuntungan besar kepada mereka.

Syarikat-syarikat seperti Warner Music, EMI yang mengedarkan album nasyid ini mendapat pulangan yang lumayan. Penasyid-penasyid ini menjadi popular sekelip mata apabila liputan dan hebahan berkaitan kehadiran mereka mendapat perhatian banyak media. Penasyid-penasyid ini sekelip mata bergelar ‘artis’. Hinggakan gelaran ‘artis nasyid’ itu melekat sebutannya sehinggalah zaman sekarang.

Akan bersambung…

sumber-Munsyeed{Dot}Com

Ditulis oleh pada Apr 24, 2012


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...