FOLLOWERS NASYID2U

Wednesday, July 6, 2011

Dhuha Belajar Kerana Ilmu :: Studiokini

Dalam mencapai kejayaan, kaedah pembelajaran sememangnya memainkan peranan penting. Keunikan dalam mencari ilmu memang tidak boleh dinafikan.

Bagi kumpulan Dhuha, konsep pembelajaran yang hanya memfokuskan kepada peperiksaan (exam oriented) bukanlah satu pendekatan yang bijak. Apa yang penting ialah pembelajaran yang benar-benar membina insan dengan menggunakan konsep pelajar kerana ilmu,bukan kerana peperiksaan.

Bagi pengurus Dhuha,Aidahaniza Abdul Wahab, dia dan suami, Shazly Abdullah ingin anak-anak mereka menggunakan teknik pembelajaran yang berbeza berbanding di sekolah.

"Bukan tidak percaya dengan pengajaran di sekolah tetapi kami mahu mendidik mereka belajar kerana ilmu bukan mahu lulus dalam peperiksaan," katanya yang merupakan salah seorang tenaga pengajar di Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Alor Setar, Kedah.

Selain konsep pembelajaran mencari ilmu, menurut Aidahaniza, Dhuha juga telah dibahagikan masa antara kerjaya sebagai artis dan pelajar.

Dhuha kini muncul dengan album terbaru Mari Belajar Bahasa Arab yang berkonsepkan pendidikan belajar sambil berhibur.

Dhuha dianggotai oleh tujuh orang adik beradik iaitu Nusaybah, 16, Nasihah, 14, Rumman, 12, Zaidan, 10, Ajwah, 8, Hamied Kishk, 5 dan Safinatunnaja, 3.

Jom Menyanyi Bahasa Arab memuatkan sebanyak 14 buah lagu popular yang mudah dihafal seperti Selamat Hari jadi, Di Rumah Kami, Hari-Hari, Tubuh Badan Saya dan Alatan Belajar.

"Dalam album ini, lirik pada setiap lagu-lagu tersebut sama sahaja seperti yang dinyanyikan dalam Bahasa Malaysia, cuma ia dialih bahasakan ke bahasa Arab," ujar Aida.

Dalam pada itu, kumpulan tersebut turut didedahkan dengan penggunaan alatan muzik seperti gitar, piano dan biola.

"Sebelum ini suami saya pernah belajar di Universiti Al-Azhar di Mesir jurusan dakwah.

"Dia sendiri melihat keperluan hiburan untuk berdakwah mendidik masyarakat adalah cara yang paling efektif. Sebab itu kami ingin Dhuha turut mengusai ilmu muzik juga," katanya.

sumber:
studiokini

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...