FOLLOWERS NASYID2U

Wednesday, August 29, 2012

Suhaimi Saad Kembali Dengan Single Terbaru


Agak lama kita tidak mendengar cerita tentang Suhaimi Saad atau suatu ketika dahulu dikenali sebagai Suhaimi Inteam. Sebelum ini beliau pernah muncul dengan 2 buah album solo iaitu Kias Cinta (2006) dan Kalamak (2008). Kini Suhaimi kembali semula dengan kelahiran single terbaru yang berjudul Tolong Ampunkan, dimana ia juga merupakan single pertama beliau setelah 6 tahun bergelar penyanyi nasyid solo.
Suhaimi Saad
“Lagu Tolong Ampunkan adalah sebuah lagu ciptaan Elfardie dan liriknya pula ditulis oleh Elkhoyri. Lagu ini diterbitkan oleh syarikat Karya Mosus. Untuk lagu ini juga saya berduet bersama sahabat saya Amir Kaslam, seorang pendatang baru dalam dunia nyanyian,” cerita Suhaimi ketika ditemubual baru-baru ini.
Menurutnya lagi, dengan adanya lagu yang bergenrekan pop nasyid ini serta penampilan yang kasual diharap dapat menarik lebih ramai pendengar khususnya remaja untuk mendekati dan meminati lagu-lagu berkonsepkan ketuhanan.
 
“Bagi saya hati yang bersih adalah lebih utama daripada pakaian dan muzik, tetapi sebaik-baik pakaian adalah pakaian yang paling serupa dengan pakaian Rasulullah s.aw. Semoga kita semua akan dibantu dan diberi kekuatan untuk terus mengamalkan sebanyak mungkin sunnah Nabi S.A.W, insyaAllah.”
Ketika disoal tentang perancangan untuk membuat album, beliau berkata ia bergantung kepada sambutan terhadap single pertama ini dahulu. Single tersebut akan mula diedarkan kepada radio-radio tempatan dalam minggu ini dan beliau mengharapkan agar lagu Tolong Ampunkan ini akan berkumandang dicorong-corong radio bermula dalam bulan ini juga. Sekiranya mendapat sambutan yang baik dari para pendengar,  insyaAllah album penuh akan dipasarkan dalam tahun ini.
Mudah mudahan pendekatan dan penampilan baru yang dibawa oleh Suhaimi ini tidak akan mengubah matlamat asal nasyid dan tidak sekali-kali akan membuatkan masyarakat terlalai. Semoga single pertama Tolong Ampunkan ini akan diberkati dan diterima baik oleh masyarakat serta dapat dihayati oleh lebih ramai pendengar, insyaAllah. -NK
sumber:nasyidkini
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...