FOLLOWERS NASYID2U

Thursday, December 22, 2011

Secangkir Kasih Buat Yang Memahami – Ito Lara


Che Am Raihan bersama anaknya yang akan dibawa ke dewan bedah

Oleh : Ito Lara (Mohd Radzi Sulaiman)

Assalamualaikum. Masih terasa rasa sedapnya Nasi Tomato UNIC malam tadi. Yang makan bubur kacang durian tu, kalau mahu resepi ‘Bubur Kacang Periuk Ajaib Masak 10 minit jer’ hello2 me yer.

Maaf, bukan itu sebenarnya nak aku utarakan di pagi mulia ini. Selepas berusrah di Pejabat UNIC malam tadi, aku dan rakan-rakan Munsyid Pian Saujana, Azadan Rabbani, Frizdan & Mail membelah malam kotaraya KL menuju ke HUKM untuk menziarahi anak Che Amran Raihan yang baru menjalani pembedahan di kepala.

Maaf, bukan keperihatinan itu yang nak aku ceritakan tetapi aku dan kawan-kawan amat terharu melihat apa yang berlaku di depan mata. Keadaan Ahmad Mahir agak sedikit ‘payah’. Ketika kami memasuki wad Pediatrik di tingkat 4, katil 8 (mujur tak kena halau dengan Abg Guard kerana melebihi 2 orang pelawat dalam 1 masa) kami terdengar suara kanak-kanak merengek-rengek dan terkadang mengerang kesakitan. Apabila Azadan menyelak tabir, ternyata suara itu datang dari Ahmad Mahir. Che Amran sedang meniup-niup telinga anaknya sambil berselawat. Tangan Ahmad Mahir menggeletar spt ‘Pakinson’. Aku terus memegang jari-jemarinya menyangkakan dia kesejukkan. Rupanya menurut Che Am itu kesan sementara pembedahan di kepala Ahmad Mahir dan ia terjadi bila keadaannya tidak begitu ‘stabil’ dan ‘tension’. Che Amran memujuk-mujuk dan menenangkan anaknya. Disuruh banyak berselawat dan mengingati Allah. Waktu itu Ahmad Mahir mengalami kesakitan di dalam telinganya. Tekanan agaknya. Che Am telah merujuk kepada doktor tetapi doktor pakar telinga telah pulang maka terpaksa menunggu ke pagi ini. Aku rasa, Che Am sampai waktu ini belum dapat berehat dan melelapkan mata.

Che Amran masih mampu tersenyum menyambut kami namun di kolam matanya jelas terlihat keperitan dan kepedihan. Sungguh berat penanggungan itu. Sungguh berat ujian Allah itu. Sungguh tabah seorang ayah yang bernama Che Amran bin Idris itu. Pelahan dia berkata “Airmata sudah kering untuk menangisi ini semua”…dan kami pula sedaya mungkin menahan airmata agar tidak gugur di hadapan beliau.

Maaf, bukan airmata itu yang nak aku gadaikan tetapi ingin mengajak rakan-rakan Munsyid yang berkesempatan, datanglah menziarahi 2 beranak ini di HUKM. Bantulah mana-mana yang patut. Sekurang-kurangnya hilang juga rasa ‘keseorangan’ Che Am dalam menghadapi ujian berat ini. Ini waktu dia, waktu kita entah bila tak siapa yang tahu. Mungkin lebih berat dari apa yang Che Amran hadapi. Namun pilihlah masa yang sesuai untuk melawat kerana tidak mahu menimbulkan masalah lain pula. Kawalan di HUKM agak ketat dan memerlukan banyak kesabaran.

Maaf, bukan itu saja yang nak aku katakan tetapi ada lagi…Sewaktu kami turut memujuk-mujuk Ahmad Mahir, kami terdengar suara tangisan kanak-kanak yang sungguh kuat di hadapan katil Ahmad Mahir. Tangisan itu menyebabkan kanak-kanak lain turut terjaga dan menangis. Terdengar suara penjaga memujuk dan menidurkan kembali anak-anak mereka tetapi suara tangisan kanak-kanak tadi tidak juga berhenti malam semakin kuat. Aku mengintai di sebalik tabir dan aku lihat seorang kanak-kanak sedang menjerit menangis sambil berdiri memegang palang katil. Dia keseorangan. Tiada siapa yang menghampirinya. Aku tertanya-tanya, kemana pergi penjaganya.

Oleh kerana tangisannya terus berpanjangan aku menghampiri kanak-kanak tersebut. Sebagai seorang ayah atau mungkin datuk aku memujuk-mujuk kanak-kanak tersebut untuk menghentikan tangisannya. Alhamdulillah, dia berhenti menangis, kembali berbaring dan memejamkan mata. Wad itu kembali tenang. Kemudian datang seorang nurse membawa sebotol susu. Rupanya dia dahagakan susu rupanya. Aku bertanya: “Ke mana penjaganya?” Menurut nurse tu, Aliyah (nama kanak-kanak itu) adalah anak yatim yang ditempatkan di sebuah anak yatim. Seluruh tubuhnya termasuk kepalanya dipenuhi kudis buta yang bengkak, berdarah dan bernanah. Sebab itu dia di hantar ke hospital. Menurut nurse itu lagi rumah anak yatim tersebut terpaksa menampung ramai anak-anak yatim sehingga sebuah dom mempunyai seramai 30 orang kanak-kanak. Bayangkan bagaimana keadaannya. Luluh hatiku melihat Aliyah. Terasa benar dia memerlukan seseorang disampingnya tempat dia menagih belaian dan kasih sayang. Itulah naluri kanak-kanak yang mana itu adalah kita suatu ketika dulu.

Maaf, bukan sekadar itu saja yang nak aku luahkan tetapi bukan saja MUNSYID tetapi kita perlu menjadi seorang insan yang prihatin terhadap insan lain terutama kepada mereka yang dilanda musibah. Seperti anak Che Am Raihan, seperti anak Mujahid Diwani dan seperti Aliyah anak kecil berumur 2 tahun itu.

Marilah kita berbuat sesuatu untuk mengurangkan sedikit sebanyak bebanan mereka saudara-saudara kita ini. Ayuh!

Sekian.

sumber:munsyeed.com

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...