Bukan kerana Faizal Tahir
Sepanjang pembabitan mereka dalam industri muzik, beberapa kejayaan turut dicapai antaranya memenangi Anugerah ERA, 2004 dan 2005 bagi kategori Lagu Duo/Berkumpulan menerusi lagu Aku Tanpa Cinta Mu menampilkan Jay Jay selain lagu Hikmah Kembara.
Menyingkap sejarah awal Mirwana, ia ditubuhkan pada 1991 oleh Yassin Sulaiman. Waktu itu kelima-lima anggotanya masih menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Hamidiah, Kajang, Selangor. Yassin, menuntut di sekolah sama turut bertanggungjawab membawa kumpulan itu bergelar artis rakaman, namun mereka bergerak sendirian. Sepanjang tempoh itu anggota kumpulan Mirwana turut bertukar ganti.
Malah, penyanyi Faizal Tahir juga pernah menganggotai kumpulan itu, namun jodoh mereka tidak panjang selepas Faizal mengambil keputusan untuk bergerak solo.
Sewaktu bergerak sendiri (indie) Mirwana sudah menghasilkan tujuh album dan album solo pada 2004, dan 2005 mereka tampil dengan album Repakage menampilkan lagu Aku Tanpa Cinta Mu. Awal tahun ini Mirwana muncul dengan album baru Bumi Akhir Usia juga tampil dengan konsep baru.
Kemunculan mereka dengan album Bumi Akhir Usia, mengelirukan ramai pihak termasuk orang dalam industri. Malah baru-baru ini menerusi ruangan Soseh-Soseh, Mirwana ditegur apabila mengelirukan peminat yang mahu mengundi mereka dalam pencalonan Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH2010), apabila dicalonkan dalam dua kategori iaitu Artis Nasyid dan Artis Berkumpulan.
Perkembangan itu secara tidak langsung menimbulkan polemik. Ramai bertanya di mana kedudukan kumpulan ini sebenarnya dalam industri terutama berkonsepkan nasyid? Mengapa mereka memilih untuk tampil dengan imej popular? Adakah Mirwana tidak lagi yakin dengan muzik nasyid?
Ada bisik-bisik mengatakan, anggota kumpulan Mirwana cuba mengikut jejak langkah bekas anggota kumpulannya Faizal Tahir yang berjaya sebagai artis solo selepas meninggalkan kumpulan itu. Menerangkan kedudukan sebenar anggota Mirwana, Akmal menjelaskan kepada wartawan Rap, Rudy Imran Shamsudin (imran@hmetro.com.my), baru-baru ini.
RAP: Mengapa Mirwana tiba-tiba mengubah konsep muzik?
MIRWANA: Sebenarnya jika peminat mengikuti perkembangan Mirwana sejak awal pembabitan kami dalam industri muzik pasti mereka faham. Sewaktu bekerja dengan Yassin, muzik yang kami dendangkan bukanlah tipikal nasyid. Sebelum ini pun sewaktu kami mengenengahkan lagu Inggeris seperti Sure You Can, Show Me The Way, Quranic Generation yang dihasilkan bersama Yassin, ia diterapkan dengan irama pop dan rap. Memang Mirwana bergerak di bawah jalur muzik nasyid, tapi kami tidak pernah menyatakan bahawa kami kumpulan nasyid secara terbuka.
RAP: Adakah Mirwana tidak yakin dengan muzik nasyid?
MIRWANA: Mirwana sejak dulu memang suka membuat eksperimen dengan pelbagai jalur muzik. Kami sangat terbuka apabila menyentuh soal itu. Sekiranya anda mendengar setiap lagu yang kami tampilkan dalam album terdahulu dan Bumi Akhir Usia kami menampilkan lagu berunsurkan pop, R&B dan ada sesetengahnya kami sulamkan dengan irama etnik fusion. Lagu dendangan Mirwana memang jauh beza dengan nasyid konvensional yang dipelopori Raihan dan Rabbani. Cara nyanyian kami juga berbeza. Mirwana sendiri banyak mendengar lagu accapela, malah kami juga pernah mendendangkan lagu dipopularkan Boyz II Men sewaktu mengadakan persembahan.
RAP: Secara jujurnya, di mana Mirwana dalam industri muzik?
MIRWANA: Kami berjuang dengan cara sendiri. Kami ada kepercayaan dan strategi sendiri. Anggota Mirwana turut menghasilkan lagu dan lirik dengan cara Mirwana sendiri. Macam sekarang selepas lima tahun kami mengkaji dan melihat artis naysid luar seperti di Indonesia. Mereka bukan seperti industri tempatan di mana muzik nasyid lebih terbuka. Ada yang mendendangkannya dalam bentuk 'band' seperti kumpulan Wali. Ada juga artis popular seperti Ungu menghasilkan lagu ketuhanan iaitu Andai Ku Tahu dan ia cukup popular. Kami turut mengkaji muzik berkonsepkan ketuhanan dihasilkan artis barat seperti Outlandish, Soldiers of Allah. Ada antara mereka menampilkan muzik nasyid berbentuk rap dan agresif rap. Mereka juga lebih terbuka dari segi muzik dan penampilan. Dalam masa lima tahun kami berkembang mengikut arus. Sebenarnya konsep kami lebih kepada lagu-lagu ketuhanan dan kerohanian. Perlu saya tegaskan di sini bahawa nasyid bukan sekadar irama padang pasir. Mesej keagamaan dan kerohanian boleh disebarkan dalam pelbagai jenis muzik. Di luar negara ia sangat terbuka. Rasanya Mirwana adalah kumpulan nasyid pertama yang mengadakan persembahan dengan bermain gitar. Kami tidak memakai kopiah sebaliknya senang dengan baret (topi). Kami juga satu-satunya kumpulan nasyid yang mengenakan seluar jeans dan kasut sukan. Kita perlu ingat bahawa Islam itu sangat sejagat. Semua orang layak untuk didakwah dan berdakwah.
RAP: Bekerja dengan kumpulan indie popular seperti Hujan, tidakkah ia akan membuatkan peminat keliru dengan Mirwarna?
MIRWANA: Dengan hujan kami mendendangkan lagu Tika Masanya dan kami turut mendendangkan lagu Menefestasi Cinta bersama Fiq. Malah, lagu terbabit layak bertanding ke separuh akhir juara lagu baru-baru ini. Pada Mirwana ini cara kami untuk meluaskan mesej disampaikan kepada pendengar. Seperti yang kita tahu Hujan dan Fiq ada ramai peminat. Ini adalah strategi Miwarna untuk mendekati golongan peminat yang tidak dapat didekati sebelum ini.
RAP: Sejauh Mana pengaruh Faizal Tahir membuatkan Mirwana mahu beralih arah?
MIRWANA: Perubahan Mirwana tiada kena mengena dengan Faizal Tahir. Segalanya berlaku selepas kami mendalami bagaimana bentuk muzik nasyid dan perkembangannya. Lihat Maher Zain, dia tampil dengan imej yang sangat sederhana. Hendak diikutkan apa yang ditampilkan Maher Zain, kami sudah buat dari dulu. Maher tidak pernah menyatakan dia artis nasyid, tetapi apabila mendengar lagunya kita tahu dia membawakan lagu bermesej ketuhanan. Walaupun tidak menyatakan kami anggota kumpulan nasyid tapi kami mempunyai perjuangan sama dengan kumpulan nasyid lain. Pendekatan kami berbeza. Dakwah ini untuk semua orang, bukan untuk golongan tertentu saja. Malah, penggiat nasyid juga bebas untuk bekerja dengan kumpulan rock atau hip hop. Apa yang penting mesej yang kita sama-sama hendak sampaikan boleh diterima.
RAP: Ada yang menuduh Mirwana tak tetap pendirian?
MIRWANA: Orang yang kata begitu sebenarnya tidak mengikuti perkembangan kami. Apa bukti menunjukkan kami tidak tetap pendirian. Kami masih orang yang sama, perjuangan masih sama dan semuanya berpegang teguh kepada Islam, cuma jalur muzik, penampilan penyampaian saja berbeza dalam usaha untuk memenuhi matlamat mendekati semua pendengar.
RAP: Penjelasan Mirwana mengenai kekeliruan kategori dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010?
MIRWANA: Kami sudah menyatakan bahawa kami bukan kumpulan nasyid sebaik saja album Bumi Akhir Usia. Kami lebih kepada kumpulan vokal berharmoni dan dari segi konsep muzik kami lebih terbuka. Kami menghormati semua jenis muzik dan tidak membezakannya cuma apa yang kami kekalkan adalah lirik dan mesej sejagat iaitu kerohanian, kemanusiaan dan ketuhanan.
sumber:
studiokini
No comments:
Post a Comment