FOLLOWERS NASYID2U

Thursday, December 9, 2010

Ameer hampir tinggalkan dunia seni sebelum muncul semula dengan album Seluruh Mahabbah

Ameer hampir tinggalkan dunia seni sebelum muncul semula dengan album Seluruh Mahabbah


Foto


TIADA lagi seluar jeans besar atau kemeja mahupun baju T yang polos membaluti tubuhnya. Ameer Munawer Yusoff, 33, kini selesa dengan imej kemas serta berkopiah.

Malah ketika memenuhi sesi fotografi di Balai Berita baru-baru ini, bekas anggota Ruffedge itu hadir dengan gaya ringkas baju Melayu rona putih berserta kopiah

Dia juga menolak permintaan kami supaya menanggalkan kopiah ketika fotografi, kononnya mahu menampakkan imejnya dalam gaya lebih kontemporari sekalipun sudah bergelar penyanyi berunsur kerohanian.

Permintaan kami ditolak secara baik oleh Ameer, dan kami pula harus menghormati kehendaknya itu. Bagaimanapun, dia tidak menghampakan jurugambar dengan memberikan gaya dan aksi istimewa.

Soalan pertama yang terkeluar dari bibir sebaik selesai fotografi tentulah mengenai penghijrahannya. Sukar untuk Ameer mengingati secara tepat bila dia memulakan perubahan itu.

“Saya sendiri tidak boleh mengingati bila sebenarnya membuat penghijrahan ini. Sejak dulu lagi saya mahukan perubahan tetapi sentiasa tertangguh, sebagai manusia setiap hari kita mahu berubah menjadi baik.

“Kita bertemu perkara seperti ini dalam mencari kebaikan. Perkahwinan juga salah satu impak kepada saya untuk menjadi lelaki yang baik. Menerusi alam rumah tangga menyebabkan saya menjadi lebih berhati-hati. Tanggungjawab saya besar kerana saya perlu membimbing wanita yang bergelar isteri dan juga zuriat kami kelak.

“Saya tidak boleh nafikan perkahwinan adalah hadiah yang paling hebat. Tanggapan saya terhadap wanita juga berbeza selepas berkahwin. Saya lebih faham ibu saya apabila melihat kesibukan isteri menguruskan rumah tangga. Saya juga mempunyai seseorang untuk menyokong saya, dan mempunyai teman kerana kebanyakan perkara dilakukan bersama-sama seperti pergi mengaji bersama,” katanya yang mendirikan rumah tangga pada Oktober tahun lalu.

Dek kerana kecintaan mendalami ilmu agama, Ameer pernah membuat keputusan meninggalkan terus dunia seni walaupun hiburan adalah sumber pendapatan utamanya.

Tanpa malu-malu Ameer mendedahkan, akibat tindakannya itu, dia mengalami kemerosotan ekonomi yang teruk hingga tunggakan kereta pun tidak mampu dijelaskan.

Walaupun diuji dengan hebat, dia percaya Tuhan mempunyai perancangan lain untuknya. Benar bagai disangka, dia menemui ketenangan yang tidak mungkin dapat dicapai jika tidak membuat keputusan itu.

“Langsung tidak timbul rasa menyesal dengan keputusan yang dibuat walaupun saya jatuh miskin. Apabila kita reda dengan ketentuan Tuhan, kita dijanjikan dengan kegembiraan. Ilmu yang saya kutip dengan menghadiri pelbagai kelas agama adalah perkara yang membuatkan saya bangkit dari kejatuhan.

“Bagaimanapun, apabila pergi menuntut ilmu, saya mula menyedari yang Allah membekalkan setiap individu dengan kemahiran berbeza-beza. Saya pun bertanyakan kepada ustaz bolehkan saya terus berkarya kerana saya adalah seorang penyanyi. Saya juga nyatakan hasrat untuk terus buat muzik, tetapi ditujukan buat Rasulullah dan lagu berunsur kerohanian, ternyata beliau memberikan galakan.

“Maka lahirlah album Seluruh Mahabbah ini. Alhamdulillah, Allah juga memudahkan proses pembikinan album ini yang berjaya disiapkan dalam tempoh tiga bulan saja.

“Album ini memuatkan dua lagu dan sebuah trek minus one. Seluruh Mahabbah ini saya tujukan khusus buat nabi junjungan kita atas rasa cinta saya terhadap Baginda. Sebuah lagi lagu yang termuat dalam album ini menyaksikan duet saya bersama UNQUE berjudul Maha Suci Allah,” katanya yang kini berdebar menantikan kehadiran cahaya mata sulung.

Apa salahnya menyamai Maher Zain

Kehadiran albumnya yang muncul hampir serentak dengan penyanyi dari Sweden berketurunan Lubnan, Maher Zain pastinya menyebabkan dia tidak lari daripada disamakan dengan penyanyi itu. Namun kata Ameer, konsep yang dibawakan mereka jelas sekali berbeza.

Muziknya lebih berunsurkan r&B soul, manakala Maher Zain pula pop soul. Namun dia tidak kisah jika ada yang ingin mengatakan dia meniru tetapi dia hanya mengambil kesempatan di atas fenomena yang melanda industri muzik itu.

“Saya tidak meniru, sebaliknya sekadar mengambil kesempatan. Apabila Maher Zain sudah buka pintu, kenapa tidak kita ambil peluang itu untuk memperbanyakkan lagi lagu berunsur kerohanian?” katanya yang turut sibuk dengan projek Click A Child iaitu portal yang memberi peluang kepada anak-anak yatim mempelajari pelbagai jenis ilmu.

Selain itu, Ameer turut memiliki syarikat Al Maulid yang menyediakan kandungan program televisyen untuk stesen Al Hijrah.

Pengisian yang disediakan oleh Al Maulid ialah Majlis Rasulullah iaitu program ala marhaban yang dilakukan sebulan sekali di Kuala Lumpur. Program selawat beramai-ramai ke atas nabi itu dirakamkan dan kemudiannya akan disiarkan menerusi stesen televisyen Islam yang pertama itu .

Sumber :Berita Harian & fenomenasyid


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...