'Kami Kumpulan Vokal Bukan Kumpulan Nasyid' - Mirwana
PETALING JAYA: Kumpulan Mirwana mengakui selesa dengan identiti dan imej kontemporari yang mereka ketengahkan menerusi kemunculan semula ini selepas hampir lima tahun menyepi.
Menurut anggota kumpulan itu Akmal dalam satu pertemuan bersama mStar Online baru-baru ini, biarpun berdepan persepsi dan komen sinis daripada pelbagai pihak berhubung imej ranggi yang dipertaruhkan itu, apa yang lebih penting dalam perjuangan mereka adalah intipati dan lagu yang ingin disampaikan kepada pendengar.
"Tidak dinafikan banyak pihak termasuk di kalangan beberapa kumpulan nasyid sendiri bersikap sinis terhadap imej kami. Namun, apa yang lebih penting di sebalik imej ranggi dan kontemporari ini adalah perjuangan dakwah yang ingin disampaikan.
"Pertikaian segelintir pihak yang menyelar imej kami sebagai tidak bersesuaian dengan aliran nasyid adalah lumrah yang tidak dapat dielakkan. Bagaimanapun, kami tidak putus atau kecil hati dengan pertikaian orang kerana kami tahu apa yang diperjuangkan.
"Ingin kami jelaskan kami bukan kumpulan nasyid tetapi adalah kumpulan vokal yang memperjuangkan lagu-lagu ketuhanan dan kehidupan. Rasanya tiada salahnya tampil begini dalam menyampaikan lagu-lagu kerohanian kerana kami sentiasa peka batas-batas penampilan yang ditampilkan agar ia bersesuaian dan sopan," katanya.
Mengulas lanjut, Akmal berkata, sebagai memenuhi selera dan perkembangan muzik semasa, mereka cukup terbuka untuk tampil dengan perubahan agar ia bersesuaian dengan pendengar hari ini yang didominasi oleh golongan muda dan pelajar.
"Trend dan selera muzik hari ini berubah dengan cepat dan drastik. Majoriti peminat muzik hari ini terdiri daripada golongan muda dan pelajar.
"Jika kami ingin berdakwah bersama mereka, kami juga perlu lebih fleksibel dan terbuka dalam pendekatan kami.
"Bukan bermaksud kami mudah berkompromi terhadap nilai-nilai dan tertib cuma imej itu sahaja diubah agar lebih kontemporari dan mudah didekati oleh pendengar. Peminat Mirwana senang dengan penampilan kami yang lebih moden dan muda ini," katanya.
Menyentuh perkembangan seni, kumpulan yang dianggotai oleh lima jejaka ini kini sedang sibuk mempromosikan album kedua mereka iaitu Bumi Akhir Usia yang telah pun berada di pasaran.
Tampil dengan lagu-lagu ketuhanan yang lebih kontemporari, album yang diterbitkan oleh kumpulan ini sendiri memuatkan 13 lagu termasuk Tika Masanya (duet bersama kumpulan Hujan), Manifestasi Cinta (duet bersama Fiq), Jauh dan Andaiku Pergi.
sumber:
http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=%2F2010%2F12%2F1%2Fmstar_hiburan%2F20101130220152&sec=mstar_hiburan
No comments:
Post a Comment