FOLLOWERS NASYID2U

Thursday, November 21, 2013

Album Baru Fiti Haris ketengahkan konsep Qasidah Akustika

Qasidah, genre yang kini mendapat sambutan hangat dalam kalangan masyarakat Islam. Walaupun ianya bukanlah sesuatu genre yang baru namun kehadiran fenomena ‘habib’ yang melanda umat Islam sejak kebelakangan ini menyebabkan qasidah turut mendapat tempat di hati masyarakat. Penerimaan ini berlaku dek kerana sifat irama qasidah sendiri yang mengandungi bait-bait lirik yang bersifat ‘Cinta Rasul’ dan dialunkan dengan nada memuji kebesaran Rasulullah S.A.W dan sahabat Baginda.

Perkembangan ini turut memberi tempias kepada dunia hiburan dakwah di Malaysia. Lambakan produk-produk qasidah sama ada dalam bentuk video mahupun audio membuktikan bahawa masyarakat mula menerima genre ini. Wholesale Mart Business Point, sebuah syarikat jualan langsung Islam, tidak melepaskan peluang fenomena yang melanda dunia kini, dengan menerbitkan produk terbaru audio mereka dalam bentuk audio qasidah.
Album Qasidah Akustika (Ya Habibi) 
Album ini merupakan album terbaru buat Fitri Haris, bekas anggota kumpulan nasyid UNIC. Menggunakan judul Qasidah Akustika (Ya Habibi), sudah pasti konsep albumnya pun berbentuk akustika. Qasidah Akustika ini memuatkan 7 buah alunan lagu berbentuk qasidah serta 6 buah alunan qasidah karaoke. Tujuh tracklist lagu tersebut ialah Ya Hanana, Ya Badratim, Solatun, Ya Imama Rusli, Law Kana Bainana, Wahai Purnama dan Andainya Dikau Bersama Kami.

Qasidah Akustika (Ya Habibi) telah dirakamkan di studio Nasyeed.Com milik Nasyeed Edutainment Sdn Bhd. Album ini menggunakan khidmat Fitri Haris sendiri sebagai penerbit album, di samping Razin (Mestica). Tidak pasti album ini merupakan album ke berapa buat Fitri Haris sejak bergerak sebagai artis solo. 

Sebelum ini, Fitri pernah tampil dengan album Selawat, Zikir dan Selawat: Keprihatinan Dalam Kesyukuran, serta album Zikir Terapi Munajat (terbitan Arteffects milik Hafiz Hamidun). Album Selawat serta Zikir & Selawat: Keprihatinan Dalam Kesyukuran merupakan album terbitan Wholesale Mart.

Kehadiran album ini pada mulanya tidak disedari oleh ramai pihak. Malah, edaran album ini juga bukanlah melalui pasaran kedai-kedai muzik mahupun secara online. Album ini menggunakan konsep pasaran secara jualan langsung oleh pengedar-pengedar yang dilantik oleh syarikat Wholesale Mart sendiri. Malah Studiokini sendiri tidak sedar mengenai kewujudan album ini sehinggalah terserempak dengan wakil pengedar Wholesale Mart.

Penerbitan album ini dengan konsep akustika merupakan satu usaha yang baik dan boleh dianggap satu kelainan dalam muzik dakwah. Namun penggunaan bait-bait qasidah yang sudah sinonim dengan halwa telinga masyarakat menjadikan album ini ‘kurang’ meriah. Maksud ‘kurang’ meriah bukanlah ditujukan kepada bait-bait lirik qasidah tetapi sudah terlalu banyak produk-produk audio berbentuk qasidah yang menggunakan lirik qasidah yang sama. Lebih molek kalau penerbit album menggunakan bait-bait lirik qasidah yang baru dalam menyampaikan mesej, asalkan ianya tidak lari dari konsep qasidah itu sendiri iaitu menganggungkan dan memuji Rasulullah S.A.W.

Dari aspek vokal, kekuatan vokal Fitri Haris membuktikan dirinya mampu membawa genre qasidah dengan baik. Vokal Fitri Haris makin baik dan boleh ditingkatkan lagi ke tahap yang lebih maksima. Secara keseluruhan, album ini merupakan sebuah produk yang berkualiti walaupun dijual melalui jualan langsung. Album ini diterbitkan oleh anak syarikat Wholesale Mart, WMBP Entertainment dengan harga RM12 (jualan langsung) dan RM25 jika dijual melalui orang tengah.

sumber - STUDIOKINI

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...