Baru-baru ini saya terbaca satu artikel di Harian Metro yang memetik pandangan seseorang berkaitan dakwah menerusi lagu. Insan yang memberi pandangan tersebut adalah Izam vokalis kumpulan E.Y.E. Sebagai seorang yang menyelosori dunia hiburan terutama menerusi nasyid, saya berasa seperti ‘dilempang’ oleh seorang yang saya anggap mengeluarkan kenyataan secara melulu.
Jika mahu mentafsir dan menterjemah maksud kata dakwah itu sendiri, ianya akan membawa ke satu pengetian yang luas. Konsep asas dakwah adalah mengajak. Apa yang dilakukan oleh kumpulan tabligh yang disertai Izam itu memang betullah. Mengajak orang pergi ke surau, mendengar ta’alim, keluar ‘di jalan Allah’, pergi rumah ke rumah. Persoalannya, itu sahajakah dakwah?
Sebagai seorang ‘ahli’ dalam jemaah tabligh, saya mengesyorkan agar beliau tidak terlalu merasakan hanya di pihak beliau sahaja yang benar segala-galanya. Saya yakin, ramai orang tidak mempertikai kaedah dakwah melalui tabligh, tetapi jangan sesekali melabel orang lain yang tidak menyertai tabligh dengan pandangan sinis dan asing.
Dakwah dewasa ini skopnya terlalu luas. Baginda Rasulullah memang kita tidak ada dengar riwayat yang menyatakan baginda berdakwah dengan menyanyi. Tetapi baginda tidak melarang berdakwah dengan nyanyian. Jika tidak, mengapa baginda membiarkan sahaja anak-anak muda yang menyanyi-nyanyi menyambut kedatangan awal baginda ke kota Madinah.
Nasyid adalah dakwah. Malah apa sahaja perkara yang mengajak ke arah kebaikan, itu juga dakwah. Ajak lah ke arah kebaikan, dia telah berdakwah. Seorang kawan mengajak kawan yang lain solat juga adalah dakwah. Dakwah tidak terlalu khusus hanya berjalan dari rumah ke rumah!
Rujukan:
KUALA LUMPUR: “Tidak pernah wujud dakwah menerusi lagu. Kalau kita boleh berdakwah dengan hanya menyanyi, sudah tentu Rasulullah s.a.w melaksanakannya terlebih dulu,” kata vokalis kumpulan E.Y.E, Izam mengenai segelintir penyanyi nasyid yang sering menggunakan kenyataan mereka berdakwah menerusi lagu ketuhanan.
Izam atau nama sebenar, Mohd Izam Mohd Arshad, 43, berkata ada dua hak yang perlu dilakukan pendakwah iaitu berjumpa orang ramai dari rumah ke rumah mengajak melakukan ibadat dan kebaikan serta berdoa kebaikan pada sepertiga malam menerusi solat tahajud.
“Kemudian ia menjadi hak Allah untuk memberi hidayah, itu usaha dakwah tetapi saya dapati ada penyanyi yang mengatakan dia berdakwah melalui lagu dan ada yang mengeluarkan kenyataan menghina selepas meninggalkan dunia hiburan.
“Saya tidak pernah tinggal dunia hiburan dan masih menyanyi tetapi bukan lagi lagu bertemakan percintaan sesama manusia sebaliknya cinta hamba kepada Allah bagaimanapun ia bukan dakwah. Saya membuat album sebab saya seorang penyanyi dan saya berdakwah mengikut apa yang dilaksanakan Rasulullah iaitu berjumpa orang ramai,” katanya yang menyertai tabligh sejak enam tahun lalu.
Menurutnya, untuk menarik orang kepada kebaikan memerlukan seorang pendakwah menggunakan pendekatan berlembut dengan menceritakan ganjaran Allah kepada hamba mengikut semua perintah dan meninggalkan larangan-Nya.
“Tapi saya lihat ada artis yang sekarang ini menjadi pendakwah terus mengeluarkan kenyataan keras dan menghentam, perkara ini menyebabkan orang semakin jauh. Berdakwah kepada orang dilahirkan Islam tetapi tidak menurut ajarannya sangat sukar kerana mereka mempunyai ilmu tetapi lemah iman.
“Kita tidak boleh terus menghukum dengan menceritakan ancaman dan balasan buruk daripada Allah sebaliknya yakinkan orang Allah Maha Pengampun serta Maha Pengasih. Bila iman mereka meningkat baru kita ceritakan sedikit demi sedikit ancaman jika melakukan perkara mungkar.
“Selepas menyertai tabligh, jika saya berjumpa dan mengajak orang ramai melakukan kebaikan bukan untuk orang itu saja tapi menasihatkan diri sendiri supaya melaksanakan perkara sama,” katanya. Izam berkata, walaupun menyertai gerakan dakwah namun kumpulan E.Y.E menerbitkan album terbaru berjudul Nama Mu berkonsepkan ketuhanan yang dijual menerusi laman sosial Facebook.
sumber:
munsyeed.com
No comments:
Post a Comment