MESKIPUN sudah lama meninggalkan kumpulan nasyid popular, Raihan, Nazrey Johani tetap aktif berdakwah menerusi lagu nasyid dengan merantau hampir ke seluruh dunia.
Sejak bergerak secara solo, Nazrey sudah menghasilkan dua album, Syahadah dan Nasyid Nostalgia Memori The Zikr. Kini Nazrey tampil dengan album baru berjudul Permata Hati.
Menurut Nazrey, walaupun dia kini bergerak secara solo, usaha dakwahnya tetap diteruskan malah dia bekerja lebih keras lagi kerana terpaksa melakukannya secara bersendirian.
“Apa pun yang berlaku, perjuangan dalam Islam mesti diteruskan, tanpa mengira di mana, saya akan teruskan selagi Allah SWT berikan kudrat kepada saya untuk melakukannya.
“Alhamdulillah, meskipun kini saya bergerak solo sega�lanya berjalan lancar dan dipermudahkan Allah SWT. Saya juga berharap dengan kelahiran album Permata Hati ini dapat memberi manfaat kepada peminat dan pencinta lagu nasyid tanah air,” katanya.
Permata Hati sesuai untuk didengar seisi keluarga kerana keluarga yang bahagia akan melahirkan kehidupan yang sejahtera dan harmoni serta membentuk masyarakat yang penyayang.
Sepuluh lagu yang terdapat dalam album itu, Permata Hati, Muslimah, Kenali Nabi Cintai Nabi, Asmaul Husna, Kasih Mesra, Ya Nabi, Suara Kebenaran (duet bersama Salleh Brotherz), Yang Dicari, Nikmat Ujian dan I’tiraf.
Keistimewaan album ini terserlah pada kelunakan vokal Nazrey dengan gubahan muzik yang jelas dan sedap didengar. Di sebalik tabir album Permata Hati ini, ia membariskan nama besar seperti Salleh Brotherz dan semua ahli kumpulan Inteam bertindak sebagai penerbit.
Manakala pemuzik yang terbabit dalam pembikinan album ini termasuk Eddie Marzuki, Along Exist, Eddie Slam, Ramli Rebana, Steve Hassan Thornton dan Mohar.
Untuk menyempurnakan lagi keseluruhan pembikinan album ini, Zairi dan CL Teoh telah diamanahkan untuk menjadi juruadun dan mastering untuk album ini.
Dapatkan album Permata Hati di pasaran seluruh negara atau beli secara on-line di www.inteammobile.com pada harga RM22.90. Album itu adalah terbitan dan edaran Inteam Records Sdn Bhd.
Sumber :Harian Metro
fenomenasyid
No comments:
Post a Comment