Usaha menyatukan artis-artis nasyid dibawah satu payung jemaah bukan usaha baharu. Penubuhan Persatuan Penggiat Industri Nasyid pada tahun 2006 merupakan titik tolak kepada kewujudan satu wadah khusus untuk menyatukan artis-artis nasyid Malaysia. Tidak cukup dengan itu, wujud satu lagi medium yang pernah diketuai oleh Almarhum Ustaz Asri Ibrahim iaitu Munsyid telah ditubuhkan. Namun 2 wadah ini kelihatan sepi tanpa berita. Kami berpendapat, mungkin 2 wahana ini kurang mendapat publisiti dari media dan keterbatasan masa artis-artis nasyid untuk aktif dalam medium jamaah ini.
Akan tetapi, kebelakangan ini, seakan ada satu magnet yang menarik hati-hati artis-artis nasyid dan penggiat industri nasyid tanahair untuk kembali bersatu, duduk semeja bagi membincangkan hala tuju industri nasyid Malaysia. Cadangan mengadakan usrah bulanan oleh kumpulan Inteam mendapat respon positif daripada semua artis nasyid tanahair. Majlis Usrah Munsyid (Mursyid) diwujudkan khas untuk menghimpunkan artis-artis nasyid dan penggiat nasyid untuk berusrah dan berkongsi ilmu bersama-sama.
Kejayaan menghimpunkan artis-artis nasyid dan penggiat nasyid dalam majlis usrah itu tidak menghentikan usaha penyatuan mereka. Kejadian tanah runtuh yang menimpa penghuni Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa baru-baru ini telah menyentuh hati para penasyid dan penggiat industri nasyid untuk turun secara berjemaah membantu mangsa kejadian. Ternyata sindiran sinis Mohd Radzi Sulaiman atau lebih dikenali Ito Lara memberi kesan yang positif dengan kejayaan ziarah mahabbah ke atas mangsa bencana baru-baru ini.
Tidak cukup sekadar ziarah, para penasyid dan penggiat industri nasyid semakin diikat hati-hati mereka untuk bersatu dan membantu mangsa kejadian tanah runtuh dengan melancarkan Showcase Amal Shuhada At-Taqwa- sebuah showcase amal terbesar dalam sejarah dengan penglibatan paling ramai artis nasyid tanahair.
Dengan menggunakan nama Munsyid Malaysia, mereka terus merangka satu demi satu gerak kerja secara tersusun, menginfak duit, bermandikan keringat untuk menjayakan program yang digerakkan bersama, demi mencapai matlamat membantu anak yatim yang terlibat.
Kebersamaan ini diharap akan terus kekal dan semoga idea penyatuan menerusi nama Munsyid Malaysia akan dapat direalisasikan oleh para artis nasyid dan penggiat industri nasyid Malaysia. Penulis yakin, jika Almarhum Ustaz Asri Ibrahim masih hidup, mungkin almarhumlah orang yang paling gembira melihat suasana jemaah yang cukup harmoni antara penasyid-penasyid dan penggiat industri nasyid tanahair. Marilah kita sedekahkan Al-Fatihah buat Almarhum Ustaz asri Ibrahim, Al-Fatihah. -MUNSYEED.COM
Disclaimer: Artikel ini adalah pendapat peribadi penulis yang mungkin terdedah dengan khilaf atau kesilapan fakta disebabkan pengetahuan penulis yang agak terhad. Pun begitu, penulis sangat mengalu-alukan sebarang teguran yang berhikmah jika terdapat sebarang khilaf supaya segala kesilapan fakta dapat diperbetulkan. Terima kasih. =D
sumber:
munsyeed.com
No comments:
Post a Comment