Agak lama juga saya tidak mencoret sesuatu di ruangan saya ini. Kekangan masa dan kesibukan kerja menjadi penghalang. Namun, dicelah itu, tidak sedar rupanya sudah masuk tahun baru 2011. Seakan pantas masa berlalu meninggalkan kita
.Umum tahu, apabila masuk sahaja tahun baru, ramai yang akan pasang niat, memateri azam agar menjadi lebih baik daripada tahun lepas. Bercerita tentang tahun baru ini, tertanya juga saya akan adakah satu sinar baru buat industri nasyid pada tahun ini.
Jangan dilupa, tahun ini kita akan menyambut ulangtahun ke 15 evolusi baru nasyid tanah air yang digerakkan Raihan pada 1996 dahulu. Bayangkan, bagaimana kumpulan tersebut Berjaya menjual hampir 600,000. Bertitik tolak daripada itu, nasyid melonjak naik sehingga menenggelamkan terus muzik lain seperti dangdung dan ‘rock leleh’
Tahun lepas menyaksikan industri nasyid seolah-olah cuba bangkit semula selepas turut sama terkena tempias kelembapan industri muzik Malaysia. Mungkin juga terbawa dek arus Maher Zain yang dilihat merancakkan semula industri nasyid.
Perlu diingat, zaman kini trendnya sudah berubah. Kita mahukan penasyid menjadi lebih progressif dalam menjalankan dakwah melalui hiburan Islam ini. Ya, kini kita bukan sahaja mahu menyasarkan peminat-peminat biasa yang mengaji di sekolah-sekolah agama, orang-orang masjid, tapi kita mahu sampaikan mesej itu ke segenap penjuru masyarakat. Ini bukan kerja penasyid sahaja, tetapi tanggungjawab semua orang.
Saya sendiri mengesan terlalu ramai bakat baru yang perlu diketengahkan. Banyak yang mempunyai semangat untuk berjuang sama dalam nasyid. Namun, ada yang mengeluh, factor kekangan dan ketiadaan platform membantutkan usaha mereka.
Saya tak melihat nasyid pada masa ini hanya bergantung pada penjualan album dan persembahan sahaja. Kita ada blog, Facebook dan sebagainya yang mampu menjadi wadah untuk kita berkarya.
Tiada alasan lagi mahu menunggu untuk disuap. Tiada jalan mudah yang boleh diambil, melainkan usaha sehabis mungkin untuk menaikkan kembali industri nasyid ini. Soal komitmen, dimana ada kemahuan, disitu ada jalan. Kurangkanlah perbalahan, mempertikai satu sama lain dan menembak kontroversi yang keterlaluan Moga impian ramai yang mahu nasid kembali meniti puncak pada tahun ini.
Lakukanlah semuanya, ikhlas, Kerana ALLAH Taala…
sumber:
munsyeed.com
No comments:
Post a Comment