FOLLOWERS NASYID2U

Sunday, February 12, 2012

Kenali Menhajj


PENGENALAN TERHADAP KUMPULAN NASYID MENHAJJ DAN ALBUM BARU

Album ini merupakan album sulung Menhajj yang bertajuk –Sentiasa Bersamamu. Dedikasi album ini adalah kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w, nabi kita yang sangat kita cintai. Lagu-lagu yang ada di dalam album ini dibawakan dalam pelbagai rentak dan irama seperti etnik kreatif, padang pasir, dan balada pop tetapi tidak lari dengan pembawaan asli nasyid. Dimuatkan dengan lima buah lagu iaitu Muhammad Kekasih Allah, Ya Nabi Salam ‘alaika, Baligh Salami (Sampaikan Salamku), Ikrar Cinta dan Sentiasa Bersamamu. Selain itu album ini juga dihiasi dengan alunan penyejuk jiwa iaitu Marhaban, Selawat, Berzanji dan bacaan al-Quran.

Album Menhajj diterbitkan atas dasar kerjasama Pusat Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris dengan kumpulan nasyid Menhajj ini sendiri. Penerbit Eksekutif album ini iaitu Ustaz Rosliza@Rosli bin Mahmud, Pegawai Pusat Islam UPSI, banyak membantu dalam sepanjang proses pembikinan album ini dari awal sehingga album ini diterbitkan.

Menhajj adalah sebuah kumpulan nasyid baru dalam industri ini dan bergerak di bawah pengurusan Pusat Islam UPSI. Pada asalnya kumpulan nasyid ini hanya bergerak di bawah pengurusan kolej, tetapi disebabkan bakat dan keistimewaan tersendiri yang ada pada kumpulan nasyid ini, Pusat Islam UPSI telah sudi untuk menguruskan dan mengembangkan kumpulan nasyid ini dengan lebih serius.

Dengan menyertai dan memenangi beberapa pertandingan nasyid di sekitar kampus, nama Menhajj mula dikenali oleh warga kampus dan sentiasa menerima jemputan untuk mengadakan persembahan di sekitar kampus, Tanjung Malim dan Kuala Lumpur. Dengan membawa konsep nasyid kontemporari/tradisonal, Menhajj berjaya memikat hati peminat-peminat nasyid dalam pelbagai peringkat dan golongan. Kini Menhajj dianggotai oleh 7 orang anak muda yang semuanya merupakan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam pelbagai kursus dan diketuai oleh saudara Ridzuan Nasir yang juga merupakan vokal utama . Anggota Menhajj yang lain terdiri daripada saudara Syafiq (vokal 2), sdr Khairuddin, sdr Rosman, sdr Fahmi, Sdr Ridzuan Hashim dan sdr Faris.

Bercerita tentang keistimewaan Menhajj, kumpulan nasyid ini adalah sebuah kumpulan nasyid yang membawa konsep nasyid itu kepada pengertiannya yang asal. Walaupun menerapkan pelbagai elemen dan genre dalam lagu-lagunya, Menhajj mencuba dengan sedaya upaya untuk mengekalkan keaslian nasyid dalam pembawaannya di dalam lagu.

Selain menyampaikan dakwah melalui nasyid, Menhajj juga menyampaikan dakwah melalui pendidikan. Dengan menggunakan slogan Mendidik sambil Berhibur, Menhajj juga yang merupakan bakal pendidik, cuba untuk memberi pendidikan yang bukan sekadar berteraskan akademik semata-mata, tetapi pendidikan yang menitikberatkan tentang pembinaan akhlak yang terpuji dengan diselangi lagu-lagu nasyid yang mendidk jiwa. Pengalaman dalam menguruskan program-program motivasi memberi beberapa kelebihan kepada Menhajj dalam menyampaikan dakwahnya kepada masyarakat.

Untuk mendapatkan album ini, ia boleh dibeli melalui tempahan di laman facebook Menhajj. Untuk maklumat lanjut mengenai kumpulan ini atau untuk sebarang jemputan persembahan dan motivasi, Menhajj boleh dihubungi di www.facebook/MENHAJJ, atau talian 013-5029100 (ridzuan).

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...