FOLLOWERS NASYID2U

Friday, April 29, 2011

Anugerah AIM Cabaran Buat Inteam Terus Kehadapan

Setelah dinobatkan Artis Nasyid Terbaik pada Anugerah Juara Lagu 2010, kumpulan nasyid Inteam terus melangkah kehadapan. Namun, gelaran yang dianugerahkan buat kumpulan nasyid yang ditubuhkan 10 tahun lalu bukanlah sesuatu yang boleh terlalu diseronokkan.

Ketika pihak MUNSYEED.Com menemui salah seorang anggota kumpulan Inteam, Muhammad Hazamin Harun, beliau menjelaskan bahawa anugerah tersebut seakan memberi sebuah tanggungjawab yang bukan sedikit untuk dilakukan.

Menurut beliau, Inteam kini dalam proses untuk menghasilkan sebuah album baru yang sedang dirancang untuk dikeluarkan pada tahun ini juga. Tidak cukup dengan itu, mereka juga akan mengeluarkan kompilasi terbaik sedekad mereka dalam masa terdekat. Menariknya, kompilasi tersebut akan dikeluarkan dengan CD berkembar.

“Buat masa ini, kami masih dalam proses mengumpul material untuk album baru. Lagu yang dah kami siapkan ada dua iaitu Lambaian Taif dan Nur Kasih versi baru, dimana kedua-dua lagu tersebut dirakamkan dengan iringan quartet string orchestra dan muzik live”

Untuk album yang akan datang, Hazamin berkata mereka cuba untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik, setanding dengan cabaran yang dipikul sebagai pemenang Album Nasyid Terbaik pada AIM 2010.

“Sebenarnya, anugerah yang kami menangi tahun lepas itu merupakan semacam tekanan buat kami. Maklum sahajalah, kami pun tak expect untuk itu. Jadi dengan gelaran itu, ia seolah mencabar kami sendiri untuk melakukan yang lebih baik pada masa akan datang”

Menurutnya lagi, mereka mahu sesuatu yang boleh mengujakan para peminat setia mereka disamping menarik peminat baru. Untuk itu, mereka merancang mahu membuat kelainan pada album baru yang akan datang. Ringkasnya, mereka mahu lari dari melodi yang menjadi sebati dalam setiap karya mereka.

“Biasanya bila peminat dengar lagu kami, mereka akan berkata, ‘oh, ini melodi trademark Inteam’. Jadi kami akan cuba bekerjasama dengan composer-komposer luar seperti Johan Nawawi atau Adnan Abu Hassan untuk menghasilkan satu kelainan buat material kami yang akan datang nanti insyaallah. Kita mahu peminat bila mendengar lagu baru nanti akan lebih teruja dengan pembawaan baru kami nanti ”

Hazamin turut memberitahu bahawa penjurian AIM dalam kategori Album Nasyid Terbaik bukanlah sebagaimana persepsi semua pihak dimana ramai yang menyangka aspek teknikaliti dan susunan muzik yang hebat-hebat. Sebaliknya, penjurian professional yang dilakukan pihak RIM lebih menjurus kearah keaslian, nilai dan identiti nasyid itu sendiri.

“Kita ambil contoh album Ahmadi Hassan yang memenangi AIM beberapa tahun lepas dimana menggunakan kepakaran dan elemen asal nasyid dari timur tengah, nasyid asli. Itu yang lebih mendapat perhatian juri berbanding album penasyid lain dengan susunan nasyid yang canggih-canggih”

Dalam perkembangan lain, Hazamin menceritakan pengalaman mereka yang kini semakin kerap membuat persembahan di Selatan Thailand terutamanya Pattani.

“Industri nasyid di sana memang sedang berkembang. Peminat nasyid di sana pun dah semakin ramai dan sambutan pun sangat menggalakkan.”

Malah, menurutnya penasyid-penasyid lain dari Malaysia seperti Raihan, UNIC dan Syifa’ juga sudah mula kerap kesana untuk membuat persembahan.

“Ada juga bakat-bakat baru di sana, dan ada yang boleh pergi lebih jauh. Insyaallah, kami juga sedang berusaha mencari jalan untuk menggilap kumpulan-kumpulan nasyid dari selatan Thailand untuk pergi lebih jauh lagi”Kata Hazamin

Pun begitu, ada nada sedikit kecewa bila diajukan tentang isu penjualan album yang semakin merundum khususnya nasyid. Kata Hazamin, jualan album arti nasyid kini di tahap membimbangkan.

Dengan situasi sekarang adalah lebih baik membikin satu lagu yang betul-betul bertaraf ‘killer song’ daripada membikin 10 lagu biasa.”Tegasnya ringkas menutup perbualan bersama kami. -MUNSYEED.COM

Nota- Gambar adalah hakmilik Inteam Records dan Firdaus Mahadi.

sumber:

munsyeed.com

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...